Jabatan Pertanian Melaka enggan bantu projek gajah putih

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat
SEBAHAGIAN daripada usahawan tani menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Pertanian di JAPERUN Kuala Linggi dekat Alor Gajah. – Foto Din Ahmad

KUALA LINGGI 25 Julai – Jabatan Pertanian Melaka sudah serik dengan janji palsu pihak tertentu yang berhasrat memulakan projek pertanian tetapi gagal merealisasikannya.

Beberapa tahun lalu jabatan berkenaan mengeluarkan kos membersihkan tanah dan membina pagar untuk bakal usahawan tani tetapi selepas ia disiapkan, tiada projek pertanian dijalankan, sebaliknya rumah yang dibina di kawasan itu.

Jabatan itu bersusah payah mengeluarkan kos membina bangsal cendawan untuk individu yang berminat memajukan industri penanaman cendawan tetapi selepas siap, tiada cendawan yang ditanam, sebaliknya bangsal itu menjadi bengkel kereta.

Ia adalah pengalaman pahit jabatan itu yang menyebabkan ia terpaksa bertegas tidak akan memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang berhasrat memulakan projek pertanian, sebaliknya bantuan akan hanya diberikan selepas peserta terbabit memulakan projek pertanian masing-masing.

Mendedahkannya, Pegawai Pertanian Daerah Alor Gajah, Johanif Johari berkata, kedua-dua pengalaman pahit mendidik jabatan supaya tidak lagi mengeluarkan wang semata-mata untuk membantu sesiapa sahaja memulakan projek pertanian.

“Sejak itulah jabatan tidak lagi dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kos untuk memulakan projek pertanian, sebaliknya kami mahu usahawan tani itu sendiri yang memulakannya dan kami membuat penilaian sebelum memberikan bantuan.

“Kami mahu mereka memiliki sifat sayang akan projek itu kerana sudah mengeluarkan modal untuk melakukan kerja membersihkan tanah, mamasang pagar dan menanam dan hanya selepas itulah kami akan memberikan bantuan,” katanya.

Beliau memberi taklimat mengenai pelbagai insentif disediakan jabatan berkenaan bagi membantu usahawan tani pada program Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Pertanian di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi, dekat sini semalam.

Beliau berkata, usahawan tani perlu memiliki ilmu sebelum memulakan projek pertanian kerana tanpa ilmu, ada yang terpedaya dengan penjualan benih yang didakwa berkualiti tinggi sedangkan hakikatnya ia tidak mampu mengeluarkan hasil yang seperti diharapkan.

Contohnya, kelapa matag asli adalah hasil pendebungan silang antara bunga betina kelapa rendah Malaya dengan bunga jantan kelapa tinggi tagnanan dari Filipina yang benih aslinya hanya boleh diperoleh pada harga RM40 sebatang di Jabatan Pertanian Pagoh, Johor, katanya.

Sehubungan itu, ada usahawan tani yang tidak memiliki ilmu membeli benih kelapa yang kononnya matag asli pada harga RM25 sebatang yang dijual individu sedangkan ia bukan matag asli.

“Penjual itu tidak menipu kerana ada meletakkan papan tanda ‘matag F2’ iaitu matag yang bukan asli tetapi usahawan tani yang ghairah ingin menanam kelapa matag membeli dan menanamnya tetapi menyesal apabila buahnya tidak seperti yang diharapkan.

“Sebatang pokok kelapa matag asli boleh menghasilkan purata buah 140 biji setahun dan jika kita menanam 178 pokok sehektar, ia boleh menghasilkan 24,920 biji setahun dan memberikan pulangan antara RM29,904 hingga RM34,000 setahun jika dijual pada harga antara RM1.20 hingga RM1.40 sebiji,” katanya.

Beliau berkata, hasil purata sebatang pokok kelapa pandan ialah 150 biji setahun dengan purata pengeluaran 40,800 biji setahun jika ditanam sebanyak 272 batang sehektar, katanya.

Views:

1010
Kongsi :
Previous post Penduduk Batang Melaka sebak terima ziarah ADUN Asahan
Next post Sasar wujudkan 100 Malakat Mall di Malaysia
Ubah saiz-+=