Jadikan Melaka destinasi pilihan pelabur – TYT

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Melaka perlu mengambil peluang sedia ada dalam usaha menarik minat pelabur dalam dan luar negara untuk melabur ke negeri ini.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam berkata, dalam usaha ke arah itu, kerajaan negeri perlu bekerjasama rapat dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi kerajaan berkaitan bagi menggalakkan lagi pelaburan asing dan domestik yang berimpak tinggi.

Katanya, ke arah usaha tersebut kerajaan negeri sewajarkan menggerakkan beberapa pelaksanaan, antaranya cadangan menaiktaraf kawasan industri mahupun komersial dengan menyediakan infrastruktur, rangkaian sistem komunikasi dan utiliti yang berkualiti.

“Selain itu, pihak berkepentingan juga perlu melaksanakan proses rekayasa semula aspek penyampaian perkhidmatan yang lebih cakap dan memudahcara urusan bakal pelabur supaya mudah menjalankan perniagaan dan mempercepatkan keputusan pelaburan.

“Pelaksanaan mekanisme ‘fast-track’ oleh agensi kerajaan berkaitan juga amat diperlukan untuk mempercepatkan proses kelulusan bagi projek pelaburan yang berkualiti dan berimpak tinggi.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga perlu mempergiat usaha untuk mewujudkan koridor ekonomi khas negeri bagi menjadikan Melaka sebagai salah satu hab kewangan baharu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian persidangan kedua penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Ali turut menzahirkan harapan agar hasrat membangunkan pusat data daripada syarikat gergasi dunia di Melaka akan menjadi kenyataan.

Views:

339
Kongsi :
Previous post Martabatkan Dondang Sayang, silat sebagai identiti Melaka
Next post Rakyat diseru ceburi industri pertanian
Ubah saiz-+=