Rakyat diseru ceburi industri pertanian

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam menyeru rakyat negeri menceburi industri pertanian sebagai petani moden dan berteknologi.

Menurut beliau, ianya mampu menjadikannya sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan selain mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Satu hari nanti mungkin Melaka berkeupayaan untuk menghasilkan produk pertanian negeri dengan nilai tambah yang tinggi dan dikomersialkan ke pasaran eksport selain mempergiatkan dan meneroka peluang industri halal.

“Saya menyambut baik sokongan di pihak kerajaan dan swasta yang menerokai peluang memodenisasikan sektor pertanian sebagai usaha untuk membangunkan sektor ini secara lestari,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ke-14.

Mohd Ali turut mengingatkan peladang, penternak dan nelayan agar memberi penekanan dalam penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan hasil.

“Bagi meningkatkan produktiviti hasil tanaman, ternakan dan perikanan yang berkualiti serta jaminan sekuriti makanan dalam negeri penekanan terhadap automasi dan penggunaan teknologi moden seperti ‘Internet Of Things’ (IoT) perlu dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sektor pembuatan dan perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka, sektor pertanian juga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri.

Views:

391
Kongsi :
Previous post Jadikan Melaka destinasi pilihan pelabur – TYT
Next post Melaka sedia anjur konsert untuk tarik pelancong domestik
Ubah saiz-+=