Melaka sedia anjur konsert untuk tarik pelancong domestik

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Pelancongan alami berbentuk konsert hiburan dan aktiviti-aktiviti kebudayaan antara tumpuan untuk diperkasakan kerajaan negeri selepas tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, aktiviti sedemikian merupakan antara yang dirancang dalam usaha menarik lebih ramai pelancong domestik ke Melaka sepanjang tahun ini.

“InsyaAllah akan ada pengumuman terbaharu daripada kerajaan membabitkan aktiviti kebudayaan, warisan dan pelancongan alami yang sehingga kini masih belum diberi kebenaran lagi.

“Tapi, jika sudah dibenarkan, kerajaan negeri akan memaksimakan aktiviti ini untuk menarik kedatangan pelancong domestik untuk tahun yang mencabar ini.

“Jadi, pelancong bukan sahaja boleh datang ke Melaka untuk makan dan bersiar-siar, tetapi juga boleh bersantai mendengar alunan muzik yang merdu dalam konsert, alunan nasyid dan sebagainya seperti yang pernah kita buat dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian persidangan kedua penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14, di Seri Negeri, sebentar tadi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai situasi semasa Melaka yang kini kembali ke zon kuning selepas terdapat satu kes di Daerah Alor Gajah,baru-baru ini, Muhammad Jailani optimis situasi itu tidak memberi kesan kepada sektor pelancongan yang kini berada dalam fasa pemulihan.

“Saya rasa keadaan kita masih terkawal sehingga sekarang dan tiada lagi kes-kes baharu yang dilaporkan sehingga kini. Jadi, saya meminta agar semua bertenang dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya lagi.

Views:

221
Kongsi :
Previous post Rakyat diseru ceburi industri pertanian
Next post Melaka destinasi pilihan pelaburan
Ubah saiz-+=