Jadikan membaca al-Quran satu budaya – KM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 17 September: Amalan membaca al-Quran bukan setakat untuk menambah pahala, sebaliknya setiap ayat terkandung dalam kalam ilahi itu mempunyai mesej dan pesanan tersirat yang perlu dihayati setiap Muslim.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, berikutan itu penganjuran Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran antara usaha terbaik untuk menjadikan membaca al-Quran sebagai satu budaya di Negeri Melaka.

Katanya, penganjuran program sedemikian juga bukanlah semata-mata untuk berlumba-lumba memperdengarkan bacaan al-Quran dengan alunan terhebat.

“Mudah-mudahan Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran diadakan secara tahunan ini akan, menarik dan menggalakkan orang ramai untuk sama-sama membudayakan al-Quran.

“Selain menanam sifat dan semangat cintakan al-Quran dan memupuk gaya hidup berpandukan al-Quran serta Sunnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Peringkat Negeri Melaka sempena sambutan Hari Malaysia Tahun 1444H/2022M, di Masjid Al-Alami MITC, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat dan Pengerusi Pertubuhan Sahabat al-Quran Negeri Melaka Datuk Dr Md Sirat Abu.

Sulaiman berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik dan kagum dengan program dianjurkan Pertubuhan Sahabat al-Quran Negeri Melaka yang disertai 1,100 peserta termasuk dari Perlis, Terengganu dan Selangor.

“Sesungguhnya Kerajaan Negeri menyambut baik usaha pihak persatuan atas penganjuran majlis yang cukup bermakna ini setiap kali Sambutan Hari Malaysia.

“Saya harapkan agar penganjuran keagamaan sempena sambutan Hari Malaysia 2022 ini dapat menyemai perpaduan, nilai positif dan mengimbangi keperluan warga Melaka,” katanya.

Terdahulu, Sulaiman turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Pertubuhan Sahabat al-Quran Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2822
Kongsi :
Previous post Dira dilantik Pengerusi Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia
Next post Syarikat telko perlu peka isu capaian internet luar bandar
Ubah saiz-+=