Dira dilantik Pengerusi Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER LIMAU 17 September – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia dalam usaha mengangkat martabat industri itu ke peringkat lebih tinggi

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi Majlis ditubuhkan itu kerajaan akan melantik tujuh hingga 10 anggota dalam kalangan penggiat industri dan profesional bagi memastikan industri perfileman serta muzik bergerak lebih proaktif pasca pandemik COVID-19.

“Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia diharap dapat menggubal dasar-dasar lebih proaktif. Saya nampak potensi muzik dan perfileman ini besar ini kerana banyak pekerjaan serta tenaga profesional yang boleh kita tarik ke dalam industri ini.

“Berlaku lonjalan dalam industri perfileman pasca COVID-19, filem seperti Mat Kilau berjaya mengutip hampir RM100 juta, sementara itu Air Force The Movie: Selagi Bernyawa menerima kutipan hampir puluhan juta ringgit.

“Jika ada filem yang berkualiti industri ini mampu berkembang besar, untuk maju ke hadapan kita perlukan tenaga pakar dilantik untuk memberikan nasihat kepada kerajaan dan industri,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Hari Malaysia Dewan Undangan Negeri, Ayer Limau di Kompleks Japerun Ayer Limau, Lubok China, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem; Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah, Adun Taboh Naning, Zulkiflee Md. Zin dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) negeri, Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Mengulas lanjut, Annuar berkata majlis yang dibentuk itu juga mampu membantu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memastikan industri itu kekal ke hadapan.

“Kita boleh tarik industri ini dengan penggunaan teknologi yang tinggi dan mahu Finas dibantu dengan adanya Lembaga Penasihat yang berkeupayaan tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1558
Kongsi :
Previous post Imbuhan menanti atlet bola jaring
Next post Jadikan membaca al-Quran satu budaya – KM
Ubah saiz-+=