Imbuhan menanti atlet bola jaring

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 17 September – Imbuhan RM1,000 menanti atlet bola jaring Melaka yang beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) XX MSN 2022 sekiranya layak ke final.

Bapa Angkat Persatuan Bola Jaring Negeri Melaka, Siti Faizah Abdul Azis berkata, imbuhan itu diputuskan bagi memberi semangat buat pasukan yang akan memulakan perlawanan pada Isnin ini (19 September).

“Kita yakin semua atlet sudah bersedia baik daripada segi fizikal dan mental serta akan berikan persembahan terbaik dalam perlawanan ini.

“Jadi untuk menaikkan semangat mereka saya bersama Jabatan Angkat iaitu Hotel MITC, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersetuju memberikan imbuhan RM1,000 kepada setiap atlet termasuk jurulatih dan pengurus sekiranya mereka layak ke final Sukma,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Pasukan Bola Jaring Negeri Melaka yang turut dihadiri Pengurus Besar MITC Hotel Sazali Sabri, di MITC Hotel, pagi ini.

Faizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai berkata, beliau yakin atlet bola jaring sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di Sukma termasuk bertemu pasukan pilihan seperti Pahang.

“Besar harapan saya kita akan dapat ke final dan sudah pasti perlawanan pertama nanti adalah titik mula buat atlet. Sekiranya mereka konsisten dan menang perlawanan, peluang kita untuk ke final cerah,” katanya.

Sementara itu, Sazali berkata, sebagai Jabatan Angkat kepada pasukan bola jaring, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat sama-sama menyumbang kepada persiapan atlet sebelum mereka beraksi di Stadium Juara Bukit Kiara.

“MITC Hotel kita menyediakan fasiliti untuk mereka di sini dan semalam kesemua atlet berkumpul untuk bersama-sama sebelum berlepas hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2805
Kongsi :
Previous post Sambutan Hari Malaysia Meriah, manifestasi kebangkitan negara
Next post Dira dilantik Pengerusi Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia
Ubah saiz-+=