Syarikat telko perlu peka isu capaian internet luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER LIMAU 17 September – Syarikat penyedia perkhidmatan telko seluruh negara perlu lebih peka berhubung ketersambungan capaian internet bagi mengatasi isu yang dihadapi sesetengah kawasan terutama di luar bandar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua syarikat telko perlu bergerak seiring dengan kerajaan bagi memastikan liputan 100 peratus mampu dicapai di seluruh kawasan di negara ini.

Annuar mahu kemampuan ketersambungan itu ditingkatkan kepada 100 peratus berikutan kerajaan sudah menyediakan prasarana yang diperlukan syarikat telco.

“Kita mahu syarikat-syarikat ini juga menggerakkan 100 peratus kemampuan ke arah perkhidmatan yang mereka sediakan bukan hanya 100 peratus pada ketersambungan sahaja.

“Saya sudah arahkan mereka jalankan audit dan hasil data diterima masih ada syarikat yang kurang dalam membekalkan perkhidmatan dengan lebih baik.

“Susulan itu kita akan keluarkan ‘Ministerial Directive’ atau Arahan Kementerian untuk mewajibkan mereka memastikan perkhidmatan khususnya di kampung-kampung dipertingkatkan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Hari Malaysia Dun Ayer Limau di Kompleks Japerun Ayer Limau, Lubok China, di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem;Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Kuala Linggi, Rosli Abdullah, Adun Taboh Naning, Zulkiflee Md. Zin dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) negeri, Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Menurutnya, kerajaan negeri juga diminta memberikan kerjasama kepada kementerian bagi memastikan pembinaan prasarana seperti menara pencawang mampu dipercepatkan.

“Ada beberapa isu menerusi hasrat kita dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), di beberapa negeri akibat isu pemilikan tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membantutkan pembinaan menara pencawang.

“Namun setelah diberikan kebenaran ada beberapa isu lagi timbul seperti perlesenan, kebenaran merancang dan sebagainya yang melambatkan pembinaan ini.

“Tiap-tiap negeri pula nampak berbeza-beza, jadi itu yang kita perlukan kerjasama mereka semua untuk kementerian menyegerakan inisiatif ini dan kalau boleh kerajaan negeri pelu beri pengecualian supaya kita dapat percepatkan pembinaan menara pencawang dalam masa terdekat termasuklah di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1454
Kongsi :
Previous post Jadikan membaca al-Quran satu budaya – KM
Next post Program rakyat suntik semangat patriotik
Ubah saiz-+=