JAIM seru rakyat ikhtiar perdengarkan bacaan doa seluruh kediaman, premis

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 6 Jun – Umat Islam di negeri ini disaran memperdengarkan rakaman bacaan doa daripada Mufti Melaka Datuk Halim Tawil sebagai usaha bagi menghapuskan penularan COVID-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Shukri Che Mat berkata, rakaman itu kemudian boleh diaminkan pendengar sejurus selepas solat setiap waktu dan digalakkan dimainkan di siaraya menerusi pembesar suara masjid, surau, maahad tahfiz termasuk di pejabat atau di kompleks beli belah setiap kali masuk waktu sembahyang.

“Rakaman doa selama tiga minit 47 saat itu boleh dimuat turun di laman Facebook JAIM dan perlu dikongsikan seberapa ramai mungkin menerusi media sosial bagi memudahkan umat Islam menadah tangan dan mengaminkan bacaan itu bagi memohon agar wabak itu dihapuskan dari negeri ini.

“Bagi rakyat bukan Islam turut diminta untuk bertafakur dan setelah kesemua bacaan habis dibacakan bolehlah meneruskan tugasan yang terhenti sebagai penghormatan kepada Allah SWT seperti mana yang kita mohon semasa berdoa,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, audio bacaan doa itu hendaklah diperdengarkan melalui siaraya setiap kali mula operasi, selepas masuk waktu solat dan selepas operasi atau penutupan pejabat dengan kadar kekuatan bunyi yang boleh didengari di seluruh bangunan.

“Seorang petugas hendaklah memaklumlan dahulu supaya pendengar berhenti seketika daripada melaksanakan sebarang aktiviti bagi memberi laluan doa dengan menadah tangan seraya mengaminkan bacaan doa sehingga tamat,” katanya.

Menurutnya, inisiatif dilaksanakan itu rentetan daripada bacaan Yassin dan doa oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai tanda kesungguhan memohon perlindungan dan kerahmatan Allah.

“Ketua Menteri juga menyeru kepada sesiapa yang mendengari doa ini supaya menghormatinya dan bertafakur bagi menghayati dan mengaminkan bersama rakan-rakan yang lain sehingga ia menjadi amalan kepada kita semua.

“Arahan ini akan berkuatkuasa sehinggalah Melaka terhindar daripada wabak ini atau terdapat arahan baharu yang akan dikeluarkan JAIM kelak.

“Kerajaan telah menggunakan pelbagai cara bagi menamatkan penularan COVID-19 maka buktikanlah peranan kita sebagai rakyat untuk berikhtiar dengan cara mendekatkan diri dengan Allah selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan negara bebas dari wabak itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

932
Kongsi :
Previous post Lupakan seketika media sosial, nasihat Cheng Hoe kepada pemain
Next post Cheng Hoe terima baik teguran TMJ
Ubah saiz-+=