Jalan alternatif legakan penduduk Kampung Pengkalan Batu

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PENGKALAN BATU 26 Januari – Pembinaan jalan alternatif lebih 800 meter dari Jalan Pulau Nibong ke Jalan Pengkalan Batu, di sini, diharap mampu menyelesaikan masalah kesesakan yang membelenggu penduduk setempat sejak sekian lama.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, laluan alternatif itu dibina atas permintaan penduduk dan permintaan orang ramai bagi menghubungkan kedua-dua lokasi berkenaan.

Katanya laluan siap dibina sepenuhnya dalam tempoh 17 mingggu itu menelan belanja RM999,993.25 dengan penjimatan kira-kira RM18,000 daripada kos kontrak asal.

“Laluan ini adalah untuk memendekkan perjalanan dari Taman Kerjasama, Bukit Beruang ke Pengkalan Batu yang juga melalui Masjid Nur Sa’adah. Ia membabitkan pembinaan jalan baharu sepanjang 575 meter dan menurap semula sebahagian jalan sedia ada kira-kira 300 meter.

“Dengan adanya laluan alternatif ini, ia memudahkan penduduk yang menjalankan urusan harian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Pembinaan Jalan Alternatif Dari Jalan Pulau Nibong ke Jalan Pengkalan Batu, di Kampung Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.

photo1674725384
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman (tiga dari kanan) menyaksikan penyerahan projek daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman (dua dari kiri) kepada Pengarah Pembangunan Negeri Melaka, Megat Azlani Megat Ramli (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jalan Alternatif dari Jalan Pulau Nibong ke Jalan Pengkalan Batu di Kampung Pengkalan Batu, Melaka. Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (tiga dari kiri). Foto: MR. AZLI

Menurutnya JKR sudah menyerahkan laluan ini kepada Pejabat Daerah Melaka Tengah (PDMT) dan kini ia dibawah tanggungjawab Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“PDMT menanggungjawabkan kepada JPKK untuk menjaga jalan ini kerana ia berstatus jalan kampung bukan dibina untuk kenderaan berat.

“Maka JPKK kena pastikan jalan ini tidak dilalui oleh kenderaan berat. Walaupun palang sudah dipasang pastikan ia tidak dibuka supaya keadaan jalan bertahan lebih lama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3432
Kongsi :
Previous post Kaki palsu cetakan 3D beri keselesaan kepada Siti Noradilah
Next post Dua rakyat Malaysia maut selepas bot dinaiki terbalik di Krabi
Ubah saiz-+=