Sorting by

×

Jalan Kulai – Kota Tinggi ditutup akibat tanah runtuh

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

JOHOR BAHRU, 25 Jan – Jalan Kulai-Kota Tinggi (FT094) yang menghala ke Felda Ulu Tebrau ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Negeri Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08), di Kulai, hari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai menerusi notis yang dimuat naik dalam Facebook rasmi jabatan itu memaklumkan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah hadir ke lokasi berkenaan untuk melaksanakan pemantauan dan penyediaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sementara.

“Hasil pemeriksaan pihak JKR, pergerakan tanah masih berlaku dan jalan itu akan ditutup bermula dari persimpangan Jalan Kulai-Kota Tinggi (ke Felda Ulu Tebrau) sehingga pusat pelupusan sampah (SWM) sementara pemeriksaan terperinci dilaksanakan.

“Pemasangan TMP, papan tanda lencongan telah dipasang sebagai hebahan dan pemasangan kanvas dilaksanakan bagi mengurangkan berlaku hakisan yang lebih besar di lokasi kejadian,” menurut notis itu.

Jabatan itu menyatakan tempoh penutupan jalan akan ditentukan selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, justeru orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan lokasi terjejas.

JKR turut mencadangkan laluan alternatif kepada orang ramai iaitu Felda Ulu Tebrau – Jalan Seelong (J02) – Jalan Lapangan Terbang Senai (FT16) – Jalan Persekutuan Johor Bahru – Air Hitam (FT001) – Jalan Kulai – Kota Tinggi (FT94) – Kota Tinggi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2433
Kongsi :
Previous post Pekerja syarikat industri maut kereta rempuh pokok
Next post Suntik dadah dalam botol minuman, sepasang suami isteri ditahan
Ubah saiz-+=