Suntik dadah dalam botol minuman, sepasang suami isteri ditahan

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

BANDA HILIR 25 Januari – Polis Melaka berjaya membongkar taktik pengedaran menjual dadah menggunakan botol minuman berperisa kepada pengunjung kelab malam sekitar Melaka dalam dua serbuan berasingan di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah itu sebelum menjalankan risikan selama seminggu.

Katanya, hasil risikan itu pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di parkir sebuah kelab malam kira-kira jam 8 malam pada 21 Januari lalu sebelum membawa kepada penahanan seorang wanita warga Thailand berusia 28 tahun yang juga isteri suspek di sebuah pangsapuri di Banda Hilir pada hari sama.

“Dalam kedua-dua serbuan itu, polis menemukan dadah jenis cecair ketamin seberat 3.91 liter dan serbuk ketamin seberat 75.6 gram dalam beg galas suspek bernilai RM6,480.

“Manakala dadah jenis cecair ketamin seberat 567 liter dan serbuk ketamin seberat 2.13 kilogram, pil ekstasi (229 gram), ganja (33.53 gram) dan pil Erimin 5 (144 gram) ditemukan dalam pangsapuri terbabit, yang keseluruhannya lebih RM200,034.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Saga, barang kemas dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 25,680,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2023-01-25 at 2.38.42 PM
CHRISTOPHER (tengah) bersama pegawai-pegawai menunjukkan hasil tangkapan dadah dalam dua serbuan berasingan pada 21 Januari lalu

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sejak Disember tahun lalu dan menjalankan kegiatan mencampurkan dadah jenis cecair ke dalam botol minuman bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Modus operandi mereka adalah menjual dadah berkenaan berdasarkan permintaan di kelab malam dan individu persendirian dengan menyuntik dadah berkenaan ke dalam botol minuman sebelum dijual dengan harga RM150 sebotol bagi minuman berkultur manakala minuman berperisa dijual dengan harga RM300 sebotol.

Christopher berkata, siasatan awal mendapati kesemua bekalan dadah tersebut diperoleh daripada Kuala Lumpur serta Johor Bahru dan dadah yang dirampas itu boleh digunakan untuk 3,669 orang penagih.

“Pihak polis turut percaya terdapat individu lain yang terlibat dalam pengedaran dadah terbabit dan sedang giat memburu saki baki sindiket,” katanya.

Tambahnya,ujian saringan air kencing terhadap kedua-duanya mendapati negatif dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek terbabit kini direman selama enam hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1877
Kongsi :
Previous post Jalan Kulai – Kota Tinggi ditutup akibat tanah runtuh
Next post Gerak generasi muda aktif aktiviti sukarelawan
Ubah saiz-+=