Gerak generasi muda aktif aktiviti sukarelawan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Januari – Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Melaka Tengah mahu menggerakkan generasi muda dalam persatuan itu memandangkan mereka adalah populasi paling aktif aktiviti kesukarelawan.

Pengerusinya, William Cheong berkata BSMM sinonim dengan aktiviti kesukarelawan kerana ahlinya yang terlatih dalam teknik kecemasan dan keselamatan selain mempunyai komitmen tinggi dalam kerja sukarelawan.

“BSMM memerlukan sokongan bagi meneruskan penglibatan generasi muda dalam kerja-kerja kesukarelaan ini dan membantu masyarakat yang memerlukan.

“Saya harap dapat menarik minat generasi muda khususnya pelajar sekolah supaya terlibat dalam aktiviti sukarelawan yang menjadi ukuran tentang nilai kemanusiaan dalam diri seseorang individu.

“Kita tidak mahu masyarakat khususnya golongan belia dan pelajar mempunyai sikap negatif terhadap aktiviti sukarelawan selain menganggap aktiviti itu membuang masa dan tidak berfaedah,” katanya pada Mesyuarat Agung Pertama BSMM Daerah Melaka Tengah, baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah BSMM Melaka, Rahman Siran; Setiausaha Kehormat BSMM Melaka, Mohd Fakurol Mustapha dan Penolong Pengarah Latihan BSMM Negeri Melaka, Mohtar Ahmad.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BSMM Negeri Melaka berkata dengan penubuhan BSMM Melaka Tengah membolehkan pihaknya melaksanakan pendaftaran semula BSMM di sekolah-sekolah rendah dan menengah dalam Daerah Melaka Tengah.

“Pada masa sama BSMM Melaka Tengah juga terus mempergiatkan aktiviti komuniti dan kemasyarakatan serta mempromosi teknik bantuan pernafasan kecemasan (CPR) serta penggunaan AED dalam kalangan ahli baharu dan masyarakat.

“Saya menyeru ahli-ahli jawatankuasa memberi komitmen dalam perkhidmatan komuniti ini selain sentiasa bersedia menyalurkan bantuan tidak mengira masa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1750
Kongsi :
Previous post Suntik dadah dalam botol minuman, sepasang suami isteri ditahan
Next post Mangsa banjir di Johor terus meningkat
Ubah saiz-+=