Jalan pintas tanpa melalui Terowong Menora kurangkan risiko kemalangan
IPOH, 16 Mei – Kerajaan Negeri Perak menerima cadangan projek pembinaan jalan pintas dari Gopeng ke Kuala Kangsar tanpa melalui Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan yang diharapkan dapat mengurangkan kadar kemalangan di negeri ini.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri menyokong projek pihak swasta, melibatkan perjalanan projek melalui susur keluar Gopeng hingga ke Siputeh dan bersambung ke Kuala Kangsar sepanjang 64 kilometer itu yang turut telah memperoleh persetujuan kabinet.
“Jarak melalui jalan itu sedikit panjang tetapi masa yang diambil tidak lama kerana tidak melalui bukit. Kerajaan negeri menyokong sepenuhnya cadangan tersebut kerana projek ini di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan tidak menggunakan dana kerajaan.
“Dalam tempoh setahun, syarikat berkenaan berjaya menguruskannya dengan berjumpa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk perbincangan lanjut.
“Syarikat itu mendapat kelulusan daripada kerajaan sejak April lalu dan akan mengambil masa dua tahun untuk mereka mendapatkan pembiaya dan seterusnya kerja pengambilalihan tanah akan dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) di sini hari ini.
Saarani berkata projek itu diharapkan dapat mengurangkan kejadian kemalangan di kawasan panas tersebut kerana faktor geografinya yang mendatar dan tiada bukit serta kurang sesak.
Dalam kejadian tengah malam Rabu lepas, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah rentung apabila kereta yang dinaiki terbakar selepas terlibat dalam kemalangan bersama dua treler di Km 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar.
Terdahulu, Saarani meluluskan dana peruntukan sebanyak RM250,000 kepada PPPKM bagi membolehkan mereka meningkatkan urusan perniagaan ahli.
“Susulan terdapat penjaja yang terjejas sewaktu pandemik COVID-19, saya meluluskan peruntukan RM200,000 kepada PPPKM iaitu RM40,000 kepada persatuan induk di sini dan setiap RM10,000 kepada 16 daerah serta tambahan RM50,000 yang ingin diberikan dengan harapan mereka dapat menguruskannya dengan baik,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.