Jangan bawa anak kecil ke bazar Ramadan, elak jangkitan COVID-19

BAGAN SERAI, 4 April – Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membawa anak-anak kecil mengunjungi bazar Ramadan bagi mengelakkan mereka terdedah kepada jangkitan COVID-19 walaupun negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata kawasan sesak yang sempit dengan orang ramai merupakan suasana yang tidak baik kepada kanak-kanak terutamanya mereka yang tidak mempunyai perlindungan vaksinasi.

“Melihat suasana hari pertama bazar Ramadan di Bagan Serai ini, kami dapati ramai pengunjung membawa anak kecil di tempat yang penuh sesak.

“Kalau tempat sempit ini sebaiknya jangan bawa anak-anak, kita tidak mahu menyambut Ramadan dalam keadaan sedih dan sibuk di hospital,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan kurma di Bazar Ramadan Bagan Serai di sini semalam.

Dr Noor Azmi berkata data terkini menunjukkan vaksinasi kanak-kanak hanya sebanyak 38 peratus manakala remaja 91.7 peratus dan dos penggalak pula 67.3 peratus.

“Ini menunjukkan vaksinasi membabitkan kanak-kanak masih di tahap yang perlahan dan kami berharap ibu bapa mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak mereka secepat mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Azmi berkata keputusan memendekkan tempoh kuarantin dan memanggil petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 untuk kembali bekerja bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan di hospital dilakukan berdasarkan fakta sains dan nasihat pakar.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana keputusan itu juga adalah syor Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang membuat penilaian data saintifik dan bukannya secara semberono.

“Kuarantin dipendekkan kerana pekerja Kementerian Kesihatan (KKM) juga terkena jangkitan COVID-19, antaranya menjadi kontak rapat namun rawatan dan program (tugas) di hospital agak tergendala sekiranya mereka menjalani kuarantin yang lama.

“Oleh itu, penilaian dibuat daripada mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya dan menerima dos penggalak serta tiada simptom lagi selain tiada rekod komorbid barulah diberi kuarantin pendek supaya dapat kembali bekerja dan menjalankan tugas.

“Ini amat penting supaya keadaan hospital tidak terganggu dan lumpuh,” katanya.

Baru-baru ini, gabungan pekerja penjagaan kesihatan menggesa KKM untuk mempertimbangkan semula keputusan memendekkan tempoh kuarantin kepada pekerja kesihatan dan sebaliknya memperkenalkan perlindungan tambahan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

215
Previous post Tindakan tegas kepada stesen minyak jual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing
Next post Peniaga bazar Ramadan perlu utamakan kebersihan – Kak Som