Jangan berniaga kalau enggan divaksin – Norhizam

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PENGKALAN BATU 14 Sept – Kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada peniaga dan penjaja di negeri ini yang enggan menerima vaksin.

Exco Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, antara tindakan yang diambil termasuklah menutup operasi perniagaan serta membatalkan lesen perniagaan peniaga terlibat.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengelakkan penularan jangkitan yang lebih serius membabitkan aktiviti perniagaan di negeri ini terutama apabila pintu sempadan negeri dibuka nanti.

NORHIZAM

“Nasihat telah diberi, amaran juga telah diberi. Tapi kalau di luar sana masih tidak mahu vaksin, saya sendiri akan mengambil tindakan tegas dan menutup perniagaan mereka.

“Kalau enggan divaksin, jangan berniaga, kita tak benarkan kerana kita tak mahu disebabkan seorang peniaga ia melibatkan orang lain pula nanti.

“Kalau masih banyak alasan juga, saya sebagai Exco berkenaan akan membatalkan lesen perniagaan mereka,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak rumah Projek Baiti Jannati TNB Melaka di Kampung Baroh, Bachang, di sini.

Mengulas lanjut, Norhizam berkata, setakat ini kira-kira 80 peratus peniaga dan penjaja kecil di negeri ini sudah lengkap menerima vaksin.

Justeru, beliau meminta mereka yang belum divaksin agar segera menghadirkan diri secara datang terus (walk in) di pusat pemberian vaksin (PPV) dengan segera bagi membolehkan negeri ini mencapai imuniti kelompok lebih awal.

“Kerajaan negeri sudah membuka PPV mega, tapi sayang kurang mendapat sambutan. Jadi saya minta peniaga-peniaga yang masih belum vaksin datanglah segera.

“Saya percaya bila pintu sempadan dibuka pada Oktober atau November nanti dan pelancong domestik sudah mula masuk ke Melaka, penjaja dan peniaga kecil di seluruh Melaka akan kembali merasai limpahnya, Insya-Allah,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

389
Kongsi :
Previous post ‘Harap Melaka boleh rentas negeri’ – Peniaga
Next post Perbezaan polisi MM2H: Sabah, Sarawak punyai peruntukan istimewa- Hamzah
Ubah saiz-+=