Perbezaan polisi MM2H: Sabah, Sarawak punyai peruntukan istimewa- Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR 14 Sept – Perbezaan polisi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak adalah disebabkan kedua-dua negeri itu mempunyai peruntukan istimewa dalam peraturan Imigresen, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia selaras dengan perkara yang digariskan di bawah Seksyen 64 dan 65 Akta Imigresen 1959/1963 untuk menguruskan hal ehwal imigresen berkaitan kemasukkan warga asing dan tempoh keberadaan warga asing di dua negeri itu.

“Justeru, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak boleh menyesuaikan syarat penyertaan program bagi tujuan pengeluaran Pas Lawatan Sosial,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak untuk menyesuaikan syarat program MM2H dengan seluruh negara, bagi mengelak isu berkaitan syarat yang berbeza.

Hamzah berkata, demikian ketika menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta penjelasan kerajaan mengenai pelaksanaan program berkenaan yang disifatkannya sebagai “satu negara, dua sistem” apabila Sarawak didapati mempunyai dasar MM2H yang dikatakan lebih liberal berbanding prasyarat dikenakan kerajaan Persekutuan.

Hamzah berkata, hasrat kerajaan menambah baik prasyarat penyertaan program MM2H adalah untuk memastikan setiap peserta program yang ingin bermastautin di negara ini terdiri daripada individu yang benar-benar berkualiti dan dapat menyumbang ke arah menjana ekonomi negara.

Katanya, pemegang status MM2H sedia ada boleh dipertimbangkan untuk mendapat kelonggaran daripada memenuhi dasar semasa, seperti keperluan pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal.

Ia bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak-anak, pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta, pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan dan lain-lain keperluan syarat yang ditetapkan, katanya.

Hamzah berkata, peserta baharu perlu memenuhi dasar baharu MM2H bagi memastikan peserta MM2H yang berada di Malaysia adalah benar-benar sah, berkualiti tinggi dan dapat memberi sumbangan yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Program MM2H diperkenalkan pada 2002 yang memberi kebenaran warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia untuk tempoh yang lama, namun program itu dibekukan sementara waktu pada Ogos 2020 bagi memberi ruang kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mengkaji semula prasyarat sedia ada.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post Jangan berniaga kalau enggan divaksin – Norhizam
Next post Hamzah perjelas isu ahli parlimen tidak dibenar masuk Parlimen 2 Ogos
Ubah saiz-+=