Jangan bunuh belangkas

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Jun – Penangkap belangkas di Pengkalan Balak, di sini, mempraktikkan cara bijak dengan melepaskan semula haiwan marin itu laut sekiranya tidak mempunyai telur.

Tindakan terpuji itu sekali gus mampu memastikan spesies itu terus membiak di habitatnya dan mengelakkan kepupusan pada masa depan.

Seorang penangkap belangkas, Jamsari Ahmad, 39, berkata, setiap kali mendapat belangkas jantan dan betina yang tiada telur, dia akan segera melepaskannya ke laut.

Dia berkata, hanya belangkas betina yang mempunyai telur ada nilai komersial yang mampu dipasarkan pada harga antara RM7 hingga RM10 seekor.

JAMSARI melepaskan belangkas betina tiada bertelur ke laut di pantai peranginan Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Haiwan marin itu ditangkapnya dengan jaring yang dipasang di gigi pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini pada sebelah petang sebelum ditarik pada keesokannya.

“Belangkas yang ada telur amat berharga sejak peraih mula mendapatkannya daripada penangkap belangkas seperti saya kira-kira dua tahun lalu berbanding sebelum itu, haiwan marin itu tidak berharga,” katanya ketika ditemui di pantai itu hari ini.

Jamsari adalah seorang daripada peniaga minuman dan buah-buahan di pantai peranginan itu yang terpaksa mengubah kerjaya demi mencari rezeki untuk keluarga akibat pandemik COVID-19.

Bapa tiga anak itu terpaksa mengharungi ombak semata-mata untuk memasang jaring sepanjang enam meter bagi menangkap ikan, ketam dan belangkas.

Jika hasil tangkapan memuaskan, dia mampu menjual ketam pada harga antara RM15 hingga RM20 sekilogram, selain belangkas dan ikan.

“Saya tidak boleh berharap kepada perniagaan sebelum ini kerana PKP menyebabkan pantai ini sepi daripada pelancong tempatan dan negeri lain,” katanya.

Dia berkata, sudah lebih setahun pantai itu lengang akibat COVID-19 berbanding keadaan sebelum pandemik itu bermula yang menyaksikan kebanyakan chalet dan inap desa dipenuhi pengunjung.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1359
Kongsi :
Previous post Kerajaan umum bantuan lebih komprehensif esok atau lusa
Next post Fasa pertama pelan pemulihan negara diteruskan
Ubah saiz-+=