Jangan hanya ‘serang’ hotel, pastikan kafe dan restoran juga ada sijil halal

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 4 April – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diminta untuk mengkaji semula larangan penggunaan beberapa frasa dan perkataan bagi mempromosikan bufet Ramadan bagi hotel yang tiada sijil halal.

Wakil Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Melaka, Sazali Sabri berkata, ini kerana hotel yang menawarkan bufet Ramadan sudah melakukan promosi sejak Feb lalu dan telah menggunakan beberapa frasa yang tersenarai dalam senarai larangan.

Katanya, meskipun ada di antara hotel masih belum memperoleh sijil halal, namun tidak ada satu pun yang cuba memanipulasi pengguna dengan menggunakan perkataan halal pada gegantung (bunting), kain rentang mahupun poster.

“Kalau betul undang-undang kata tidak boleh pakai kenapa larangan ini dibuat dalam tempoh terdekat iaitu sehari dua sebelum Ramadan kenapa bukan dua atau tiga bulan lepas. Ini kerana kebanyakan hotel sudah jalankan promosi sejak Jan dan Feb lagi.

“Walaupun promosi dibuat ada menggunakan perkataan bufet Ramadan dan berbuka puasa tetapi tiada perkataan dijamin halal (contohnya) digunakan.

“Apabila larangan ini dikeluarkan kami tidak boleh serta merta untuk menarik iklan promosi yang sudah dibuat selain sudah tentu memerlukan kos,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, pihak berkaitan diminta untuk melihat secara menyeluruh berkaitan hal ini memandangkan ada di antara hotel di negeri ini bukannya tidak memohon sebaliknya sedang menunggu status sijil halal dikeluarkan.

“Ada beberapa hotel bukan langsung tiada sijil halal tetapi dalam proses pembaharuan serta permohonan dan masih menunggu kerana proses ini mengambil masa,” katanya.

SAZALI

Mengulas lanjut Sazali berkata, agensi berkaitan juga perlu memainkan peranan dalam memastikan bukan sahaja hotel bahkan kafe dan restoran di negeri ini juga perlu mempunyai sijil halal.

“Kita perlu tengok juga kenapa 100 hotel yang ada menawarkan perkhidmatan makanan dan minuman di negeri ini hanya 14 sahaja yang ada sijil halal, ia perlu dikaji semula bagaimana hendak galakkan semua memohon.

“Kalau boleh kita mahukan semua hotel, restoran dan kafe di Melaka ini mempunyai sijil halal,” katanya.

Media semalam melaporkan, hanya 14 buah hotel di Melaka mempunyai sijil halal dan dibenarkan menggunakan perkataan ‘Bufet Ramadan’ atau ‘Iftar Ramadan’ bagi mempromosikan pakej berbuka sepanjang bulan ini.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil halal sama sekali dilarang mempromosikan bufet dengan perkataan yang boleh memperdayakan umat Islam.

Antara larangan pengiklanan itu adalah ‘Jom Berbuka’, Selera Ramadan’, ‘Citarasa Ramadan’, ‘Jom iftar’, dan ‘Iftar Ramadan’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2777
Kongsi :
Previous post Lebih banyak konsesi lebuh raya akan distruktur semula – Fadillah
Next post PGA gagalkan cubaan seludup 12 lembu guna perahu
Ubah saiz-+=