Jangan lari daripada perjuangan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Dis. – Jangan lari daripada perjuangan walaupun tewas di medan peperangan kerana pemimpin akan pergi tetapi parti harus kekal demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Semangat berkenaan ditegaskan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika memberikan semangat
kepada pemimpin akar umbi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada program Ramah Mesra Bersama Pemimpin di Kompleks al-Khawarizmi, di sini semalam.

Dengan dihadiri Sidang dari 11 kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Pengerusi masjid dan surau dalam DUN Tanjung
Bidara, Ab Rauf menegaskan, tiada guna pemimpin berkenaan berjuang jika mudah patah semangat apabila tewas.

“Tempoh 22 bulan kita berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), amat menyedihkan kerana banyak kepentingan kita diketepikan oleh pemerintah pada waktu
itu.

“Dalam pilihan raya umum yang lalu, kkerakusan kita dan kesilapan kita membuatkan kita tidak fikir apa yang akan kita lalui tetapi hal itu tidak berlaku dalam Parlimen Masjid Tanah,” katanya.

Sehubungan itu, Ab Rauf mengucapkan terima kasih kepada pengundi dalam Parlimen Masjid Tanah kerana mengekalkan DUN Tanjung Bidara, Lendu, Ayer Limau, Taboh Naning dan Kuala Linggi dalam penguasaan Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan, untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), perpaduan orang Melayu diyakini membawa kejayaan berdasarkan kerjasama rapat antara UMNO dengan PAS dalam Muafakat Nasional.

Katanya, perjuangan dalam menegakkan kepentingan agama, bangsa dan negara harus disematkan dalam jiwa generasi muda yang sekarang berhadapan dengan pelbagai
ancaman musuh, terutama PH yang mencuba meracuni fikiran mereka dengan slogan kononnya semua rakyat pelbagai kaum memiliki hak yang sama.

Ia menyebabkan aspek penting dalam Perlembagaan, khususnya yang berkaitan dengan hak dan keistimewaan orang Melayu sering dicabar pihak berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin peringkat akar umbi supaya tidak jemu menyampaikan mesej dan penjelasan kepada anggota komuniti mengenai kepentingan
mengekalkan kuasa politik.

 

Views:

285
Kongsi :
Previous post Sidang benteng warisan adat dan budaya Melayu
Next post Langkah-langkah pemulihan FELDA dijangka bawa hasil positif pada 2023 – Mustapa
Ubah saiz-+=