Jangan rentas negeri untuk aktiviti tak penting, fikir anak-anak- KM Sulaiman

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KUALA SUNGAI BARU 24 April. – Ibu bapa diminta lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti rentas negeri yang menjadi punca penularan COVID-19 di sekolah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali berkata, kes penutupan beberapa sekolah di negeri ini kerana kes positif COVID-19 antaranya berpunca daripada kontak rapat daripada aktiviti rentas negeri dalam kalangan ibu bapa.

Katanya, pihaknya bimbang kes penularan daripada kontak rapat akan dibawa oleh anak-anak ke sekolah membuatkan sekolah terpaksa ditutup seperti yang berlaku baru-baru ini.

 

SEORANG penerima disantuni Sulaiman selepas menerima bantuan kit makanan dan wang tunai RM100 di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi.

“Kita sarankan ibu bapa agar jangan merentas negeri bagi menghadiri majlis perkahwinan atau sebarang aktiviti tidak penting terutama ke negeri yang mempunyai kadar jangkitan tinggi.

“Menerusi laporan yang diterima daripada Jabatan Pendidikan negeri kebanyakan kes berlaku adalah kontak rapat dari aktiviti merentas negeri dan kini terdapat sekolah yang terlibat telah disanitasi dan telah diarahkan ditutup.

“Jika ingin merentas negeri semata-mata untuk ke majlis perkahwinan saya sarankan janganlah lakukannya buat masa ini, perlu sabar sekejap…perlu fikir anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin serta  barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.

Menerusi program itu, seramai 120 golongan kurang kemampuan daripada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah menerima sumbangan kit makanan dan wang tunai RM100 disampaikan Sulaiman.

SULAIMAN menyampaikan sumbangan wang tunai pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah diadakan di Dewan Kompleks Japerun Kuala Linggi.

Sulaiman berkata, bagi mengelakkan perkara itu berulang beberapa cadangan dikemukakan Jabatan Pendidikan negeri bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) terus diperketatkan.

“Antara kaedah dicadangkan seperti mengetatkan SOP dan perlaksanaan ujian saringan serta beberapa lagi yang akan diumumkan kelak kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Sehingga kelmarin, enam sekolah membabitkan tiga daerah di negeri ini direkodkan menerima penularan COVID-19 dan ada antaranya menerima penularan daripada kes import B membabitkan aktiviti merentas negeri sehinggakan tercetusnya kluster baharu di negeri ini.

Malah daripada kes direkodkan itu, penularan bukan sahaja bawaan daripada pelajar malah kalangan guru sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post Kebersihan tidak memuaskan, dapur hotel tawar bufet Ramadan diarah tutup dan dikompaun
Next post SAMB kenal pasti tapak bina kolam takungan air terawat berpusat
Ubah saiz-+=