Kebersihan tidak memuaskan, dapur hotel tawar bufet Ramadan diarah tutup dan dikompaun

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BEMBAN 24 April – Sebuah daripada 17 dapur hotel yang menawarkan bufet Ramadan diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) serta dikenakan tujuh kompaun berjumlah RM4,300 selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis tidak memuaskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kesalahan itu dikesan dalam Op Ramadan yang diadakan di hotel di sekitar negeri ini bermula Selasa lalu sehingga kelmarin.

Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1985 dan Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM) kerana berada di bawah tahap kebersihan yang memuaskan.

“Menerusi operasi berkenaan JKN Melaka turut memeriksa 995 premis makanan di tapak Pasar Ramadan dan kesemuanya mencapai 75 peratus ke atas tahap penilaian kebersihan premis.

“Selain itu seramai 2,350 pengendali makanan di seluruh negeri diperiksa dan sebanyak 580 notis amaran dikeluarkan JKN kepada mereka atas kesalahan tidak mematuhi garis panduan tahap kebersihan yang ditetapkan.

“Sebelas kilang ais juga diperiksa dan tiga kompaun bernilai RM6,100 dikenakan di bawah PPKM 2009,” katanya ditemui pemberita selepas mengadakan ‘walkabout’ di pasar Ramadan Bandar Jasin Bestari, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Speaker Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Wira Ghazale Muhamad, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Ismail Ali dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin Datin Sapiah Haron.

Menurut Rahmad lagi, bagi memastikan makanan yang disediakan selamat dan tidak menyebabkan kemudaratan, JKN Melaka menyeru semua pengendali makanan sentiasa mengamal dan mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan semasa menyedia dan menjual kepada orang ramai.
Dalam lawatan itu, beliau mengedarkan apron kepada semua peniaga pasar Ramadan terbabit sebagai antara langkah kebersihan yang penting ketika memasak dan menjual makanan kepada orang ramai.

Selain itu beliau turut menegur beberapa peniaga yang gagal memasang tirai plastik lutsinar di sekeliling khemah serta tidak memaparkan kod imbasan MySejahtera di hadapan gerai masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1125
Kongsi :
Previous post Tiada larangan bawa kanak-kanak ke pasar Ramadan di Melaka
Next post Jangan rentas negeri untuk aktiviti tak penting, fikir anak-anak- KM Sulaiman
Ubah saiz-+=