Jangkitan COVID-19 varian Omicran XBB terkawal – Khairy

SUNGAI BULOH, 17 Nov – Gelombang jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron XBB di negara ini dalam keadaan terkawal, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata situasi tersebut hasil sokongan rakyat yang mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), sehingga berlaku penurunan kes baharu COVID-19 termasuk varian itu kepada 13.4 peratus pada minggu lepas berbanding minggu sebelumnya.

“Saya juga bertanya kepada Timbalan Ketua Pengarah dan pakar penyakit berjangkit berkaitan kemasukan (pesakit COVID-19) ke hospital nampak sudah teratur, ia tidak lagi meningkat dan mungkin akan mula menurun.

“…dan kita dapati walaupun kadar kematian kes meningkat sedikit kepada 0.07 peratus bagi minggu perbandingan yang sama, ia masih jauh lebih rendah berbanding indicator CFR (case fatality rate) yang mana kita letakkan pada tahap tiga peratus,” katanya pada sidang media situasi semasa COVID-19 di sini hari ini.

Bagaimanapun, Khairy menasihatkan seluruh rakyat negara ini untuk berwaspada atau berhati-hati terutamanya di program ceramah pada saat akhir kempen PRU15.

“Jadi sila berjaga-jaga, berhati-hati dan pastikan selamat untuk anda pergi mengundi…Saya telah minta pandangan daripada semua pakar dan mereka memaklumkan gelombang baharu masih terkawal sama ada sudahpun sampai kemuncaknya atau sedang mendatar dari segi jumlah kes dan sebagainya,” katanya.

Khairy berkata KKM telah mengenal pasti 40 kes COVID-19 berkaitan sub varian XBB antara 11 hingga 17 Nov, menjadikan kes kumulatif varian tersebut kepada 60 kes.

“…tapi (walaupun) sub varian XBB memintas (berbanding Omicron BA.5), namun kita lihat ia tidak teruk dan ia memberi petanda yang baik kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Khairy menggesa orang ramai untuk menerima suntikan vaksinasi COVID-19 kerana langkah tersebut mampu mengurangkan gejala jangkitan serta kesan sampingan sehingga menyebabkan kematian.

“Status vaksinasi insiden kematian bagi pesakit yang tidak pernah divaksinasi adalah tiga kali lebih tinggi berbanding pesakit yang mendapat dua dos vaksin dan tujuh kali lebih tinggi berbanding mendapat satu dos penggalak,” katanya.

Khairy berkata langkah pengambilan vaksin berjaya menurunkan semua indikator keterukan daripada aspek kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan alat bantuan pernafasan.

Mengenai rawatan terhadap pesakit COVID-19, beliau berkata tiada kes kematian melibatkan pesakit yang menerima rawatan Paxlovid di peringkat komuniti.

“Setakat ini, mereka (pesakit) yang kita bagi Paxlovid dan sebagainya di Klinik Kesihatan dan sebagainya, semua telah pulih. Ini bermakna kita mungkin benar-benar berada di penghujung fasa peralihan ke endemik,” katanya.

Mengenai vaksin boleh sedut CanSino Biologics, Khairy berkata KKM dalam proses merekrut peserta untuk percubaan yang dijangka bermula beberapa bulan akan datang.

“Kita agak teruja dengan perkara itu kerana saya fikir apabila selesai pilihan raya umum, maka menteri kesihatan baharu akan mengumumkan cadangan vaksinasi pada masa hadapan sama ada ia secara tahunan atau siapa yang patut mengambil vaksin tahunan,” katanya.

Bulan lepas, CanSino Biologics memperkenalkan vaksin COVID-19 jenis baharu dengan kaedah sedutan berbanding jenis suntikan seperti sebelum ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Previous post BN sasar peroleh kemenangan ‘4 plus 1’
Next post PM arah semua agensi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana siap sedia hadapi bencana