Janji Manifesto BN perlu ditunaikan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 22 Nov – “Pada saya ini bukanlah satu tugas (Ketua Menteri Melaka) yang mudah apabila diberikan kepercayaan lebih besar dan bermakna oleh rakyat Melaka”.

Itu kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang diberikan mandat sekali lagi untuk memimpin negeri Melaka demi kestabilan dan kemakmuran rakyat di negeri ini.

“Dalam kestabilan itu mesti ada kemakmuran… ini adalah kemakmuran bersama kepada seluruh rakyat di Negeri Melaka tidak mengira parti sama ada bangsa, kaum ataupun agama.

“Jadi itulah tugas yang perlu dijalankan sebaik mungkin setelah diberikan majoriti besar daripada rakyat. Ini menampakkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengimbas kad perakam masa hari pertama bertugas sebagai Ketua Menteri di Seri Negeri, hari ini.

Ujarnya, beliau dan pasukan yang diberikan tanggungjawab akan melaksanakan janji yang terkandung di dalam Manifesto BN.

“Saya bersama pasukan saya dan juga penjawat awam akan laksana tugas yang besar iaitu besar dari segi ujian, besar kehendak dan kemajuan rakyat yang harus kita tunaikan.

“Apa terkandung dalam Manifesto BN akan saya laksanakan segera, dalam akur janji atau manifesto kita ada perkara-perkara yang dalam tempoh 100 hari, setahun atau dua tahun seperti mana ditetapkan.

“Ini menjadi fokus utama saya dahulu, janji mesti dikotakan…janji mesti dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melapor diri secara rasmi buat penggal baharu di pejabatnya di Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad.

Sulaiman sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas BN berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN negeri.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama kira-kira jam 12.58 tengah malam Sabtu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

741
Kongsi :
Previous post Kerjasama dengan PN, ikut keputusan atasan – Sulaiman
Next post Bekas warden penjara didakwa menyamar pegawai polis
Ubah saiz-+=