Jasa bakti negarawan Allahyarham Ahmad Sarji akan terus terpahat – PM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, sebagai seorang negarawan dan tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat dihormati dan disegani malah jasa baktinya akan terpahat dalam sejarah negara sampai bila-bila.

Perdana Menteri berkata, bekas Ketua Setiausaha Negara itu cukup sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkat imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam, bahkan komited menyumbang idea dan kepakaran termasuk dalam sektor pendidikan walaupun setelah bersara.

Katanya, Ahmad Sarji, sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-Raja turut memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam di dalam negara.

Beliau berkata pemergian Allahyarham yang baginya adalah seorang negarawan, merupakan satu kehilangan besar buat negara.

“Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diangkat darjatnya bersama para anbia. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Allahyarham, yang merupakan Tokoh Maal Hijrah 1420 Hijrah menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun di sebuah hospital pada 1.40 pagi tadi dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah II, Bukit Kiara kira-kira 12 tengah hari tadi, selepas disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara.

Dilahirkan pada 16 Sept 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996 semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dan merupakan tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam negara yang amat disegani dan dihormati.

Allahyarham juga merupakan pengasas dan pengerusi pertama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post Melaka buka dua PPV mega Isnin ini
Next post Pasar pagi, pasar malam boleh beroperasi jika lengkap vaksin – KM
Ubah saiz-+=