Jasin rekod 359 kes kemalangan langgar lembu

Masa Membaca:57 Saat

JASIN 14 September – Sebanyak 359 kemalangan membabitkan lembu direkodkan di Daerah Jasin dalam tempoh hampir empat tahun.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, statistik itu direkodkan berdasarkan laporan diterima pihaknya membabitkan haiwan ternakan bermula 2018 hingga setakat awal September 2022.

Beliau berkata, setiap tahun akan ada laporan diterima membabitkan lembu sama ada kemalangan ringan, parah ataupun hanya kenderaan mengalami kerosakan.

“Daripada jumlah itu, dua kemalangan maut turut direkodkan pada 2021 manakala 61 membabitkan kerosakan pada bahagian kenderaan dan 13 mengalami kecederaan termasuk parah menjadikan kesuluruhan kemalangan pada tahun lalu 76 kes.

“Untuk tahun ini pula sehingga 8 September, sebanyak 52 kemalangan dilaporkan berlaku sekitar daerah Jasin membabitkan haiwan ternakan ini,” katanya.

Menurut beliau, situasi ini agak membimbangkan buat pengguna jalan raya apabila haiwan ternakan dibiarkan bebas berkeliaran di jalan raya tanpa sebarang pengawasan.

“Banyak aduan kita terima daripada penduduk setempat serta pengguna jalan raya mengenai haiwan ternakan ini yang berkeliaran dan mengundang bahaya.

“Bagi membendung situasi ini daripada berterusan kami pihak polis bersama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bekerjasama menjalankan operasi bersepadu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2491
Kongsi :
Previous post Penyanyi era 80-an Aman Shah meninggal dunia
Next post Harga petrol RON97 turun lima sen, RON95 dan diesel kekal
Ubah saiz-+=