Jawatankuasa Cantasan Pokok tindakan jangka panjang atasi pokok tumbang

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 10 Mei – Penubuhan Jawatankuasa Cantasan Pokok adalah langkah drastik jangka panjang Kerajaan Negeri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sebagaimana insiden pokok tumbang yang meragut nyawa di ibu negara, Selasa lalu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata tindakan menubuhkan jawatankuasa itu diambil susulan insiden pokok ru tumbang yang menimpa seorang ibu dan bayi lelakinya sehingga anaknya terkorban dua tahun lalu.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu bagaimanapun masih dalam peringkat rujukan berikutan ia melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain perlu mengekalkan kehijauan dan kelestarian bumi Melaka.

“Jawatankuasa cantasan pokok baharu sahaja ditubuhkan tetapi kita masih dalam tempoh untuk menyiapkan ‘term of reference’ (TOR), kerana kita akan libatkan semua agensi berkaitan bencana termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Seperti yang kita tahu, (penebangan) pokok ini memang bidang kuasa terletak kepada PBT, namun untuk menilai tambahan juga kita perlu memastikan kehijauan Negeri Melaka terus dipelihara.

“Jadi jawatankuasa ini bukan untuk jangka masa pendek, ia perlu untuk jangka masa panjang, kerana isu ini (kejadian pokok tumbang) bukan sahaja berlaku di Melaka, malah semua negeri di Malaysia,” katanya.

Photo1709978103
EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin Perdana Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-21 Bandaraya Melaka Bersejarah 2024 di Masjid Tun Mohd Khalil Yaakob, Tanjung Minyak.

Mengulas lanjut Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata kejadian pokok tumbang bagaimanapun perlu mengambil kira daripada keadaan cuaca yang tidak menentu serta di luar jangkaan.

“Sekarang ini, kadang-kadang hujan disertai dengan ribut, mengakibatkan pokok tumbang namun kita akan berusaha sedaya-upaya supaya dapat mengawal perkara tidak diingini terutama pokok-pokok besar misalnya yang sudah tidak selamat untuk berada di tepi jalan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

81
Kongsi :
Previous post Pelajar tingkatan dua tunggang motosikal maut, rakan cedera
Next post Pasang CCTV di tandas untuk aibkan rakan sekerja wanita, akauntan didenda RM4,500
Ubah saiz-+=