Jejambat bertingkat antara 15 aku janji Ban Hong untuk warga Tangga Batu

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

TANGGA BATU 11 November – Memperjuangkan jejambat bertingkat (flyover) dan jalan pesisir pantai bagi mengatasi kesesakan trafik menjadi antara aku janji manifesto calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata, cadangan itu merupakan satu daripada lima komitmen infrastruktur yang menjadi keutamaannya demi keselesaan rakyat Parlimen berkenaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pembinaan jejambat dan jalan pesisir pantai menjadi antara infrastruktur yang diberi perhatian memandangkan kawasan Parlimen Tangga Batu merupakan antara destinasi tumpuan pelancong.

“Saya fikir dua cadangan ini dapat membantu penyuraian trafik memandangkan ia merupakan salah satu infrastruktur yang perlu diberi perhatian demi keselesaan rakyat dan pada masa sama merangsang pembangunan di sekitarnya.

“Antara cadangan flyover bertingkat ini ialah di sekitar Cheng dan Paya Rumput, manakala jalan pesisir pantai lebih terarah kepada kawasan Klebang dan Pantai Kundor.

“Dua cadangan ini perlu dibawa ke peringkat persekutuan agar Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dapat bersama-sama membantu mewujudkan infrastruktur pengangkutan yang lebih baik di Tangga Batu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman manifesto BN Parlimen Tangga Batu di Bilik Gerakan Parlimen Tangga Batu di Klebang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ban Hong telah mengumumkan 15 aku janji yang dirangkumkan di bawah tiga teras utama iaitu infrastruktur demi keselesaan rakyat, memperkasa ekonomi rakyat dan pembangunan fokus demi kesejahteraan rakyat.

Di bawah teras infrastruktur, selain sistem pengangkutan dan jalan raya, antara aku janji yang disentuh ialah usaha mengatasi banjir menerusi pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB); memperluas liputan jalur lebar 5G; menambah baik infrastruktur jeti nelayan dan menaik taraf sistem pengairan untuk aktiviti pertanian.

Manakala di bawah teras memperkasa ekonomi rakyat, antara yang digariskan ialah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan; memperkasa pembangunan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS); membangunkan jenama produk ‘Tangga Batu’; mewujudkan tarikan pelancongan baharu seperti restoran terapung dan mewujudkan istitusi pendidikan serta kemahiran.

Teras terakhir iaitu pembangunan fokus demi kesejahteraan rakyat pula memberi perhatian kepada aspek kebajikan anggota dan pesara tentera serta memperkukuh keselamatan awam di kawasan berkenaan.

Selain itu, ia turut menekankan pembangunan agama, kemudahan sukan dan rekreasi, kesihatan serta memperbanyakkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) di Tangga Batu.

Malah, Ban Hong turut komited memperjuangkan isu tapak pelupusan sampah Sungai Udang dengan menjadi suara rakyat mempercepatkan pembinaan insinerator pelupusan sampah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2789
Kongsi :
Previous post Bandar Universiti pembangunan campuran terbesar Melaka
Next post Lima cedera, kemalangan Myvi, lori
Ubah saiz-+=