Bandar Universiti pembangunan campuran terbesar Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

DURIAN TUNGGAL 11 November – Pembangunan Bandar Universiti Yayasan Melaka (BUYMe) yang menjadi bandar universiti pertama di negeri ini dijangka mampu menarik nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM627 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pembangunan itu menjadi projek hartanah terbesar Kerajaan Negeri yang mengambil keluasan 91.4 hektar (226 ekar) bagi pembinaan campuran meliputi pangsapuri kos rendah, rumah mampu milik, rumah teres, rumah berkembar, rumah banglo, kondominium atau apartmen serta lot industri.

Katanya, pembangunan yang terletak bersebelahan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM itu mampu menjadi mercu tanda baharu Melaka untuk peningkatan kediaman, ekonomi dan perniagaan seperti mana pembangunan di kawasan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

“Jumlah keseluruhan pembangunan BUYMe bagi Fasa 1 seluas 90.49 ekar (36.6 hektar) merangkumi kediaman sebanyak 1,404 unit manakala bagi kawasan industri pula meliputi kawasan 66.62 ekar (29.6 hektar).

“Pembangunan BUYMe itu dijangka akan membawa pulangan kepada Yayasan Melaka sebanyak RM627 juta,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bandar Universiti Yayasan Melaka (BuyMe) dengan menaiki jentolak sebagai gimik pelancaran itu di Jalan Simpang Gading-Kesang Pajak, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Yusof Jantan.

photo1668141172
Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali (tengah) melihat pelan pembinaan BUYMe pada Majlis Pecah Tanah Bandar Universiti Yayasan Melaka@BUYMe di Jalan Simpang Gading-Kesang Pajak, Durian Tunggal, Melaka. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, projek itu adalah pembangunan hartanah terbesar dikendalikan oleh Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Melaka.

“Bagi Kerajaan Negeri, ini adalah yang terbesar namun pembinaan kediaman sahaja, ada lagi besar dibangunkan pemaju swasta seperti Scientex yang mengambil keluasan antara 1,000 hingga 2,000 ekar (404 hingga 809 hektar) tetapi dalam slot Kerajaan Negeri, ini adalah paling besar (pembangunan hartanah).

“Pembangunan hartanah itu dibina atas tanah Kerajaan Negeri dan Yayasan Melaka akan menjadi pemaju untuk membangunkan kawasan itu,” katanya.

Terdahulu turut diadakan majlis menandatangani Tawaran Surat Setuju Terima Pembiayaan yang disaksikan oleh Sulaiman antara Yusuf dengan Pengurus Besar Bank Islam Malaysia Berhad, Ahmad Haliman Abdul Halim.

photo1668140760
Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian bersama Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Yusof Jantan dengan Pengurus Besar (Perbankan Komersial) Bank Islam, Ahmad Haliman Abdul Halim pada Majlis Pecah Tanah Bandar Universiti Yayasan Melaka@BUYMe di Jalan Simpang Gading-Kesang Pajak, Durian Tunggal, Melaka. Foto: MR. AZLI

Katanya, Bank Islam telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM60 juta untuk membiayai sebahagian pembangunan infrastruktur bernilai RM45 juta dan pinjaman berjangka bernilai RM15 juta untuk pembelian tanah seluas 45.3 hektar (112 ekar) bagi pembangunan Fasa 3 bandar universiti terbabit.

“Lokasinya yang terletak bersebelahan dengan UTeM, saya harapkan pembangunan itu mampu memberi kemudahan kepada semua kakitangan UTeM selain memberi kelebihan kepada Kerajaan Negeri dan universiti untuk bekerjasama dalam membangunkan kawasan industri terutama melibatkan Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3523
Kongsi :
Previous post Penjawat awam Melaka terima gaji awal 17 November
Next post Jejambat bertingkat antara 15 aku janji Ban Hong untuk warga Tangga Batu
Ubah saiz-+=