Penjawat awam Melaka terima gaji awal 17 November

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

DURIAN TUNGGAL 11 November – Kerajaan Negeri memutuskan pembayaran gaji bagi kakitangan jabatan dan agensi kerajaan di Melaka diawalkan kepada 17 November ini berbanding ketetapan biasa pada setiap 25 hari bulan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Kerajaan Negeri memahami keperluan dialami rakyat di negeri terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menunaikan tanggungjawab selain memerlukan kewangan bagi menampung keperluan untuk keluarga pada penghujung tahun.

Katanya, keputusan itu ditetapkan sebagaimana diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan yang memberikan pembayaran gaji awal pada 17 November ini kepada penjawat awam.

“Apa sahaja ditetapkan oleh Kerajaan Pusat, apatah lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sealiran dengan kita, (jadi) kita menyokong.

“Jangan bimbang kita beri gaji awal, akhir tahun memang banyak (kewangan) diperlukan, untuk anak-anak, bercuti dan sebagainya jadi kita ikut tarikh sebagaimana ditetapkan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bandar Universiti Yayasan Melaka (BuyMe) di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Yusof Jantan.

Kelmarin, media melaporkan penjawat awam dan pesara kerajaan bakal menerima bayaran gaji serta pencen lebih awal bagi bulan ini iaitu masing-masing pada 14 dan 17 November berbanding pada 25 hari bulan seperti kebiasaannya.

Menerusi surat dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bertarikh 7 November lalu, Perbendaharaan Malaysia dimaklumkan telah bersetuju untuk meluluskan permohonan pengecualian AP 105 bagi membolehkan pengeluaran gaji dan pencen diawalkan.

Difahamkan, inisiatif itu diberikan bagi membolehkan pengundi pulang ke kawasan masing-masing sempena PRU15 pada 19 November depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2926
Kongsi :
Previous post Teroka galeri pisau
Next post Bandar Universiti pembangunan campuran terbesar Melaka
Ubah saiz-+=