Teroka galeri pisau

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR 11 November – Apabila disebut sahaja pisau, mungkin ramai membayangkan sekeping besi tajam bagi kegunaan seharian di rumah.

Namun namun dihakikatnya, pisau boleh dipecahkan kepada banyak kategori mengikut jenis bentuk dan kegunaan.

Mempunyai lima ruangan mempamerkan lebih 280 bilah pisau dan keris, Galeri Pisau Jaya Mata Malaysia terletak di Jonker Walk, di sini, menjadi antara destinasi menarik baharu untuk dilawati pelancong singgah ke Negeri Melaka.

Galeri berkenaan menawarkan pelbagai maklumat mengenai pisau termasuk kegunaan secara khusus bagi tugas tertentu.

Nama setiap ruangan iaitu Pedang Pejuang, Sekilas Bilah Kuno, Bengkel Pertukangan Besi dan Keris serta Pisau dan Kehidupan yang unik membuatkan pengunjung tertuja untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bahan dipamerkan.

Setiap bahan pameran disertakan dengan keterangan dan antara yang menarik adalah pisau untuk menoreh getah digunakan 100 tahun lalu serta peralatan bagi tujuan pertanian itu.

photo1666977954
KELENGKAPAN kesatria zaman pertengahan turut dipamerkan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengunjung juga berpeluang melihat antaranya pedang pejuang yang pernah digunakan tentera Gurkha, kelengkapan kesatria zaman pertengahan termasuk senjata dan baju besi digunakan, Pedang Yuewang dan Pedang Longquan dari China di ruang pameran Pedang Pejuang.

Malah, turut dipertontonkan lambang kepahlawanan Melayu seperti keris Keris Panjang dan Keris Beko serta GE iaitu sejenis senjata menyerupai tombak atau lembing.

Paling menarik pengunjung diterangkan mengenai proses daripada sekeping besi boleh dibentuk dan dijadikan sebilah pisau atau senjata di ruangan Bengkel Pertukangan Besi.

Turut dipamerkan pisau yang mendapat anugerah Malaysia Book Of Records iaitu ‘The Biggest Knife’ dan ‘The Biggest Golok Knife’.

Sementara itu, pengasas galeri berkenaan Tan Thean Lee berkata, apa yang dilakukan adalah untuk menggamit semula nostalgia zaman dahulu.

Dia mahu berkongsi dan memperkenalkan peralatan seperti pisau menoreh getah yang mungkin tidak lagi dikenali generasi muda di Malaysia ketika ini.

“Galeri ini sudah dibuka lebih setahun, namun akibat pandemik semua perancangan terbantut sebelum dibuka semula penghujung April lalu dan apa yang difahamkan galeri ini adalah yang pertama di Malaysia.

“Malah saya amat berharap ia dapat menjadi produk pelancongan terbaharu di Melaka kerana di sini, sesuai dikunjungi seisi keluarga malah boleh kembali seketika ke zaman dahulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2559
Kongsi :
Previous post Nasib nelayan diberi keutamaan
Next post Penjawat awam Melaka terima gaji awal 17 November
Ubah saiz-+=