JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT SEJAHTERAKAN DUN TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Hujan lebat tidak menghalang Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turun padang menyantuni rakyat menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, hari ini.

Ketua Menteri berkata, bukan sekadar berkonvoi sebaliknya siri jelajah itu membawa bersama pelbagai bentuk bantuan dan komitmen untuk keluarga besar Tanjung Bidara, termasuk peruntukan khas Jelajah berjumlah RM150,000.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, sebanyak RM12,000 disalurkan bagi sumbangan jaring kepada komuniti nelayan, selain lebih RM89,000 bagi membekalkan ‘GPS Finder’ untuk nelayan di Pasir Gembur.

Katanya, tidak lama lagi komuniti nelayan di Pasir Gembur juga akan menikmati kemudahan balai nelayan baharu bernilai RM270,000 yang dijadualkan siap pada 30 Oktober 2026

“Kedua sebanyak RM9,500 disalurkan kepada peniaga dan pekebun kecil, selain penyediaan Sound Box Touch ’n Go bernilai RM3,000 bagi memudahkan urusan transaksi harian para peniaga. Ketiga sebanyak RM40,000 disalurkan menerusi Insentif Belanja Rakyat, melibatkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Seri Kemunting, Masjid Al-Jawahir, Kampung Balik Hutan dan Dewan Terbuka Kampung Pulau.

“Keempat kita turut memberi perhatian kepada keperluan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Seri Kemunting, dengan peruntukan sebanyak RM8,000 bagi penyediaan alat bantu pemulihan. Kelima dalam soal pendidikan, sebanyak RM30,000 disalurkan kepada dua buah sekolah menengah dan empat buah sekolah rendah.

“Selain itu lebih RM16,000 disediakan menerusi Bantuan ‘One-Off’ Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, manakala RM12,000 lagi bagi Insentif Tuisyen Percuma yang memberi manfaat kepada lebih 80 anak-anak Tanjung Bidara,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Melaka Bersama Masyarakat DUN Tanjung Bidara di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi serta Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Turut hadir barisan Exco, Timbalan Exco, pegawai kanan, ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Melaka serta pemimpin masyarakat DUN Tanjung Bidara.

Terdahulu, Ketua Menteri diiringi Exco Kemajuan Dewan, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh  menyempurnakan  gimik pecah tanah bagi pembinaan balai nelayan baharu Pasir Gembur, menyampaikan sumbangan  GPS Finder dan insentif  Belanja Rakyat kepada komuniti setempat.

Katanya, keenam pula sebanyak RM10,000 disalurkan kepada veteran tentera, RM12,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga dan Pengerusi Taman, serta RM9,000 kepada persatuan kompang dan silat.

Sementara itu ketujuh warga Pengkalan Balak kini dapat menikmati kemudahan ibadah yang lebih selesa menerusi Masjid Al-Jawahir, Pengkalan Balak, yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM1.4 juta.

Manakala kelapan pula katanya, berikutan insiden kebakaran menimpa Puan Shamsiah Hassan, Kerajaan Negeri menyediakan sebuah rumah baharu bernilai RM70,000 di Kampung Balik Hutan, Lubok Redan.

“Bukan itu sahaja, sebanyak RM185,000 disediakan bagi membaik pulih 12 buah rumah sekitar DUN Tanjung Bidara. Hakikatnya, apa yang saya sebutkan ini hanyalah sebahagian daripada lebih 20 jenis bantuan dan sumbangan yang kita bawakan sepanjang Jelajah demi kesejahteraan warga Tanjung Bidara.

“Mungkin nilainya berbeza bagi setiap penerima, tetapi bagi saya, nilai sebenar bukan terletak pada berapa besar peruntukan yang kita belanjakan, tetapi berapa besar maknanya yang dapat kita bawa ke dalam kehidupan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

318
Kongsi :
Previous post TIGA PROGRAM, SATU PRINSIP: KERAJAAN MELAKA SENTIASA DEKAT DENGAN RAKYAT
Next post ‘SEJAK HARI PERTAMA DIBERI AMANAH, INILAH CARA KITA BEKERJA’