TIGA PROGRAM, SATU PRINSIP: KERAJAAN MELAKA SENTIASA DEKAT DENGAN RAKYAT

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bersama Rakyat (HEBAT) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat mempunyai pendekatan serta fungsi tersendiri, namun ketiga-tiganya berpaksikan satu prinsip iaitu memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa dekat dengan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kepelbagaian pendekatan menerusi ketiga-tiga program itu membolehkan kerajaan mendekati rakyat dalam skala dan bentuk yang berbeza, termasuk mendapatkan aduan, mendengar pandangan serta melihat sendiri permasalahan di lapangan.

“WRUR ada caranya. HEBAT ada ruang dan fungsinya. Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat pula mempunyai peranannya sendiri tetapi semuanya berpaksikan satu prinsip yang sama, iaitu pentadbiran yang tidak jauh daripada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan kenamaan lain.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, pendekatan berkenaan membolehkan kerajaan bukan sahaja menerima aduan dan maklum balas, malah memahami sendiri keadaan yang dilalui masyarakat.

Menurutnya, terdapat isu yang mungkin dilihat kecil pada pandangan sesetengah pihak, namun memberi kesan besar kepada keluarga yang berdepan dengannya setiap hari.

“Untuk memahami rakyat, kita tidak boleh melihat kehidupan mereka hanya melalui laporan dan angka. Kita kena turun, kita kena tengok sendiri, kita kena dengar sendiri apa yang rakyat lalui,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan turun padang secara langsung juga penting bagi memastikan setiap suara rakyat diberi perhatian dan keperluan mereka dapat dikenal pasti dengan lebih tepat.

Katanya, kepimpinan negeri perlu terus mendekati rakyat merentasi semua kawasan, daripada satu DUN ke satu DUN, kampung ke taman perumahan, malah dari satu pintu ke satu pintu.

“Walaupun pelaksanaan WRUR akan melengkapkan siri terakhirnya di DUN Tanjung Bidara esok selepas merentasi kesemua 28 DUN di Melaka, tanggungjawab kerajaan kepada rakyat akan terus dilaksanakan.

“Yang perlu dibawa ke meja keputusan, kita bawa. Yang perlu diperjuangkan, kita usahakan dan yang mampu kita selesaikan, kita selesaikan sebaik mungkin,” katanya.

Ab Rauf berkata, tamatnya siri WRUR tidak bermakna pendekatan mendekati rakyat turut berakhir, sebaliknya pengalaman serta maklum balas yang dikumpulkan sepanjang jelajah menjadi asas untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, prinsip utama yang perlu dikekalkan ialah memastikan kerajaan terus hadir bersama rakyat, memahami keperluan mereka dan bertindak terhadap isu yang memerlukan penyelesaian.

“Pentadbiran tidak boleh jauh daripada rakyat. Kita mesti sentiasa ada bersama mereka dan tahu apa yang berlaku di kawasan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

74
Kongsi :
Previous post WRUR TANJUNG BIDARA: 30 SUKARELAWAN KUASAI KEMAHIRAN PARAKOM TAHAP 2
Next post JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT SEJAHTERAKAN DUN TANJUNG BIDARA