WRUR TANJUNG BIDARA: 30 SUKARELAWAN KUASAI KEMAHIRAN PARAKOM TAHAP 2

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TANJUNG BIDARA 18 September – Seramai 30 peserta yang sebelum ini mengikuti latihan Paramedik Komuniti (PARAKOM) Tahap Satu memperkukuh kemahiran menerusi latihan Tahap Dua yang memberi tumpuan kepada pengurusan pelbagai situasi kecemasan.

Eksekutif Sumber Manusia St John Ambulans Malaysia (SJAM) Melaka Mohamad Fuad Rosman berkata, latihan kursus Tahap Dua tersebut bertujuan memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada peserta dalam mengendalikan mangsa sebelum mendapatkan bantuan perubatan lanjut.

Katanya, antara kemahiran yang didedahkan termasuk cara mengangkat pesakit, pengurusan renjatan, mangsa tidak sedarkan diri, kecederaan tisu lembut, kepatahan serta teknik imobilisasi.

“Bagi Kursus PARAKOM Tahap Dua ini peserta turut diajar konsep kecemasan mengangkat dan mengalihkan mangsa termasuk bagi kes berkaitan penyakit haba, lemas, kehamilan dan kecemasan membabitkan kanak-kanak.

“Selain itu, kita turut memberi pendedahan berkaitan kes sengatan, gigitan dan sengatan obor-obor dan sesi praktikal turut diadakan bagi memberi peluang kepada peserta mempraktikkan kemahiran yang dipelajari dalam sesi teori,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Kursus Paramedik Komuniti (PARAKOM) Tahap 2, Saringan Kesihatan Komuniti dan Klinik Harta Pusaka Kecil yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara di Balai raya Pengkalan Balak, di sini, semalam.

Mohamad Fuad berkata, kursus tersebut penting supaya peserta bukan sekadar memahami prosedur secara teori, sebaliknya mempunyai keyakinan untuk mengaplikasikan kemahiran tersebut ketika berdepan situasi kecemasan sebenar.

Sementara itu, Mohamad Fuad turut memaklumkan untuk tempoh Januari hingga September tahun ini, seramai lebih 400 peserta dan sukarelawan PARAKOM baharu telah mengikuti 10 Kursus Tahap Satu dan Dua yang diadakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post FESTIVAL SUNGAI MELAKA LABUH TIRAI PENUH KESYUKURAN, 425 BERSELAWAT ATAS BOT