FESTIVAL SUNGAI MELAKA LABUH TIRAI PENUH KESYUKURAN, 425 BERSELAWAT ATAS BOT

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDARAYA MELAKA 18 September – Seramai 425 peserta menyusuri Sungai Melaka menaiki 20 bot Melaka River Cruise sambil mengalunkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sempena simbolik penutupan Festival Sungai Melaka 2026, malam tadi.

Program itu menghimpunkan peserta daripada institusi pendidikan, masjid dan komuniti setempat yang bersama-sama mengalunkan selawat sepanjang perjalanan menelusuri Sungai Melaka, sekali gus menjadi pengisian kerohanian pada malam penutup festival yang berlangsung hampir empat bulan di tiga daerah.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, program berkenaan turut menjadi wadah kesyukuran atas kelancaran operasi sektor sungai dan pantai yang terus menyumbang kepada pembangunan pelancongan serta ekonomi negeri.

“Sebagai umat Nabi Muhammad, kita berselawat ke atas junjungan besar kita, memohon keberkatan dan syafaat supaya perkhidmatan sungai dan pantai di Melaka ini terus dapat memberi nikmat dan rezeki kepada kakitangan dan Negeri Melaka khususnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.

Shaharul Azuar berkata, perkembangan sektor pelancongan sungai dan pantai turut memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi peningkatan kunjungan pelancong yang memberi manfaat kepada peniaga, pengusaha hotel dan inap desa.

Dalam pada itu, beliau berkata Festival Sungai Melaka 2026 yang berlangsung hampir empat bulan menghimpunkan hampir 30 acara sebelum melabuhkan tirai menerusi Pesta Pantai Tanjung Merara.

Katanya, penganjuran festival berkenaan akan terus diperluaskan pada tahun mendatang dengan memberi tumpuan kepada produk pelancongan di ketiga-tiga daerah di negeri ini.

“Kita tidak hanya tertumpu di Melaka Tengah. Kita ada di Selatan Melaka dan juga di Utara Melaka, sebagai salah satu usaha mendekati masyarakat setempat serta menjana ekonomi peniaga dan penduduk tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post WRUR TANJUNG BIDARA: MPAG KOMITED PASTIKAN PESISIR PANTAI BERSIH, TERJAGA