
WRUR TANJUNG BIDARA: MPAG KOMITED PASTIKAN PESISIR PANTAI BERSIH, TERJAGA
TANJUNG BIDARA 18 September – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) terus memastikan kawasan persisiran Pantai Tanjung Bidara di sini berada dalam keadaan bersih dan terjaga sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta Pesta Pantai Tanjung Bidara yang berlangsung sehingga Ahad ini.
Komitmen itu dilaksanakan menerusi kerja pembersihan secara berkala di kawasan persisiran pantai bagi memastikan persekitaran kekal bersih, kemas dan selesa untuk komuniti serta pengunjung yang hadir sepanjang program berkenaan.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati petugas MPAG giat menjalankan kerja pembersihan dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai, termasuk mengutip sampah dan membersihkan persekitaran pesisir.
Usaha sama turut dilaksanakan di beberapa lokasi yang terlibat dengan Pesta Pantai Tanjung Bidara, termasuk Kampung Balik Batu yang bakal menjadi lokasi pertandingan memancing.
Bagi memastikan aspek kebersihan pesisir Pantai Tanjung Bidara terus terpelihara, MPAG turut bekerjasama dengan SWM Environment dalam melaksanakan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

Langkah berkenaan bukan sahaja memastikan keselesaan pengunjung, malah membantu menyerlahkan wajah Pantai Tanjung Bidara yang lebih bersih dan terurus menjelang pelbagai aktiviti Pesta Pantai.
Dengan kawasan pesisir yang lebih kemas, pengunjung dapat menikmati suasana pantai dengan lebih selesa, sekali gus memperlihatkan usaha berterusan pihak berkuasa tempatan dalam menjaga kebersihan lokasi awam yang menjadi tumpuan komuniti dan pelancong.
Inisiatif berkenaan turut menyokong usaha menjadikan Pantai Tanjung Bidara sebagai antara lokasi rekreasi dan pelancongan yang bersih, selesa serta menarik untuk dikunjungi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


