Jelajah Keusahawanan Melaka dekati usahawan, pengusaha November ini

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 12 September – Perkongsian dan perincian berkaitan keusahawanan akan dikongsikan secara terperinci menerusi Jelajah Keusahawanan Melaka yang akan ke setiap parlimen di Melaka bermula hujung bulan ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, program jelajah itu diadakan sebagai inisiatif membantu usahawan dalam menyampaikan maklumat tepat sekali gus membolehkan mereka memperluaskan perniagaan atau jualan yang diusahakan.

“Program Jelajah Keusahawanan Melaka ini kita rancang akan diadakan bermula hujung bulan ini sehingga November yang mana bakal berlangsung di kesemua enam Parlimen dan akan bermula di Parlimen Kota Melaka.

“Dengan adanya program ini ia akan memudahkan usahawan ataupun rakyat dalam memperoleh maklumat berkaitan.

“Pada jelajah itu nanti kita akan bawakan semua agensi yang terbabit dalam keusahawanan, kepenggunaan menyertainya ini untuk memberikan pendedahan dan perkongsian maklumat kepada usahawan. Pada masa yang sama juga bank-bank juga akan terbabit sama,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata, sepanjang jelajah itu berlangsung perkongsian atau taklimat mengenai pemasaran produk keluaran juga akan diberikan oleh agensi-agensi yang berkaitan.

“Contohnya, mungkin ada pengusaha atau usahawan yang ingin memasarkan produk mereka ke pasaran luar tetapi dari segi pemasaran atau taraf pembungkusan tidak berapa mahir jadi mereka boleh hadir ke jelajah ini nanti kerana akan ada agensi yang boleh membantu.

“Begitu juga bagi usahawan Bumiputera yang ingin mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk produk keluaran mereka, di situ nanti juga akan ada agensi berkaitan akan membantu memberikan penerangan termasuk untuk mendapatkan pinjaman bagi perniagaan,” katanya.

Justeru, Allex berkata, beliau amat berharap orang ramai terutamanya usahawan dan pengusaha akan hadir menyertai Jelajah Keusahawanan Melaka yang bakal diadakan nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Kongsi :
Previous post 23 agensi dan jabatan diraikan, terima penghargaan
Next post Kumpul duit, hias bot dengan Jalur Gemilang
Ubah saiz-+=