Jemaah terkandas di KLIA: Polis terima 57 laporan, kerugian lebih RM2.37 juta

Masa Membaca:55 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 57 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji terhadap sebuah agensi pelancongan swasta melibatkan kerugian lebih RM2.37 juta.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata negeri Selangor mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu sebanyak 25 laporan membabitkan kerugian berjumlah RM620,000 diikuti Kuala Lumpur dengan 23 laporan melibatkan kerugian sebanyak RM766,500.

“Empat laporan diterima di Pahang dengan sebanyak RM874,000 kerugian manakala masing-masing satu laporan diterima Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu. Jumlah keseluruhan kerugian adalah sebanyak RM2,371,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Pulau Pinang mencatatkan jumlah kerugian sebanyak RM32,000, Perak (RM25,000), Negeri Sembilan (RM16,000), Terengganu (RM38,000) manakala Johor tidak melibatkan sebarang kerugian.

Khamis lepas, kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.

Mereka dipercayai menggunakan visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH). – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

899
Kongsi :
Previous post Bantu rakyat tangani isu kenaikan harga barang
Next post Jumlah korban di Masjid Tengkera meningkat walaupun lembu, kambing mahal
Ubah saiz-+=