Jenazah Muhammad Arif selamat dikebumikan di Klebang Besar

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat
SUASANA pilu mengiringi majlis pengebumian yang dihadiri ahli keluarga, jiran dan sahabat handai.

KLEBANG 25 Jun – Jenazah Allahyarham Laskar Kelas I TMK, Muhammad Arif Idris, 26, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang maut dalam nahas kemalangan di Sabah, kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klebang Besar, di sini, pada jam 4 petang tadi.

Majlis pengebumian dijalankan dengan penuh istiadat ketenteraan termasuk kawalan kehormatan jenazah, selepas selesai disembahyangkan di Masjid Saad Ibni Abi Waqqas.

Difahamkan, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam kira-kira jam 2 petang sebelum dibawa ke rumah keluarganya di Persiaran Balik Buloh Klebang Besar pada jam 2.45 petang.

Suasana pilu mengiringi majlis pengebumian yang dihadiri ahli keluarga, jiran dan sahabat handai.

Turut hadir, Juru Iring Tentera Laut Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung ke-16, Laksamana Pertama Datuk Sharum Shaim yang menyampaikan watikah ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, menggunakan pesawat C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 9.45 pagi.

Muhammad Arif, anak kedua dari tiga beradik dilaporkan maut bersama dua lagi anggota TLDM, iaitu Laskar Kelas I Mohamad Firdaus Mat Izan dan Allahyarham Laskar Kanan PAP Maslim Abdul Rahim selepas trak tentera yang dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Ranau-Kota Kinabalu 12.55 tengah hari Selasa.

Semua mangsa merupakan anggota Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan.

Views:

1180
Kongsi :
Previous post “Bincang elok-elok, jangan gaduh”
Next post Dua kes JE dikesan di Pulau Pinang
Ubah saiz-+=