“Bincang elok-elok, jangan gaduh”

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

BUKIT RAMBAI 25 Jun – Dua lelaki ditahan polis selepas terlibat dalam pergaduhan di Medan Selera Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Taman Rambai Utama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 33 dan 56 tahun itu ditahan di Jalan Kota Melaka kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Menurutnya, pergaduhan dikatakan berpunca daripada perselisihan faham apabila lelaki berusia 56 tahun yang juga biro keselamatan kawasan berkenaan mengarahkan ibu kepada lelaki berusia 33 tahun menutup segera gerainya sedangkan peniaga wanita terbabit sedang bersiap sedia untuk memulakan perniagaannya.

“Biro keselamatan terbabit diarahkan oleh persatuan penduduk agar tidak membenarkan peniaga pasar malam berniaga sehingga prosedur operasi standard (SOP) dibuat pihak persatuan dan disebabkan itu lelaki berusia 56 tahun itu bertengkar dengan ibu lelaki berusia 33 tahun yang juga peniaga.

“Ketika pertengkaran berlaku peniaga terbabit telah menegur biro keselamatan itu selain turut mempersoalkan kata-kata lelaki terbabit yang difahamkan ada menyebut perkataan lucah dan kemudiannya tercetus pergelutan antara kedua-dua mereka,” katanya.

Afzanizar berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam yang memaklumkan terdapat pergaduhan di hadapan medan selera.

“Akibat pergelutan itu, kedua-dua mereka mengalami kecederaan ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 160/506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Views:

1127
Kongsi :
Previous post RUTC Klebang jadi pusat sehenti warga emas, anak muda
Next post Jenazah Muhammad Arif selamat dikebumikan di Klebang Besar
Ubah saiz-+=