Sorting by

×

Jiankun tandatangi RDA bangunkan hotel, resort di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Pemaju hartanah, Jiankun International Bhd (Jiankun) meneruskan pembangunan komersial meliputi hotel, resort, premis perniagaan dan kediaman di bawah perjanjian penambakan dan hak pembangunan (RDA) bersama kerajaan Melaka.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Jiankun, Edwin Silvester Das berkata, RDA yang ditandatangani anak syarikat Embon Global Venture Sdn Bhd (EGV) itu dibangunkan di atas tanah seluas 12.14 hektar di Bandar XLIV dalam daerah Melaka tengah.

Menurutnya, Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan popular negara memberi keyakinan syarikat itu untuk mengembalikan kegemilangannya yang kaya dengan warisan budaya pasca COVID-19.

“Walaupun tahap pemulihan industri pelancongan bergantung kepada pengurusan wabak di seluruh dunia dan ramai yang percaya perjalanan global mungkin tidak pulih sehingga tahap pra-pandemik sebelum 2023.

“Namun pembukaan selepas 2023 untuk kebanyakan pasaran adalah tepat pada waktunya,” katanya memetik laporan New Straits Times hari ini.

EGV diramal menyelesaikan projek pembangunan itu dalam tempoh 12 bulan dari kerja permulaan resort dijangkakan dibuka pada 2023.

Draf rancangan pembangunan katanya, masih tertakluk kepada kelulusan peraturan yang diperlukan meliputi hotel dan resort, premis perniagaan, dan pembangunan kediaman dengan kondominium dan pangsapuri servis.

Menurut Das, beliau yakin bahawa pelaburan awal sekitar RM5.7 juta ke dalam hak konsesi penambakan itu akan meningkatkan simpanan tanah syarikat.

“Ini akan membuatkan Jiankun berada dalam posisi yang kukuh menuju fasa pemulihan ketika ekonomi beransur-ansur dibuka kembali dengan norma baharu.

“Kerja penambakan dan pembangunan juga membantu memulihkan ekonomi Melaka dalam jangka masa pendek dan negara untuk jangka masa panjang,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

564
Kongsi :
Previous post Ziarah kubur di luar musim perayaan dibenarkan – MKN
Next post Kerajaan kaji skim pencen tentera bersara awal – PM
Ubah saiz-+=