Jiran nampak bayi meraung dari celah tingkap
DUYONG 12 Feb – “Pada awalnya saya dengar bunyi orang mengamuk, tapi kerana asyik bermain permainan video dalam talian bersama adik, saya abaikan saja. Tapi bila kali kedua keadaan semakin kecoh dan saya kena ambil kisah lalu jenguk menerusi tingkap.
“Ketika itu saya lihat si isteri dalam keadaan lemah mengendong bayi sedang meraung kesakitan keluar dari rumah,” dakwa seorang jiran enggan dikenali ketika menceritakan kejadian seorang wanita dan bayi perempuannya yang disimbah minyak panas oleh suami sendiri dalam kejadian di Semabok, di sini, kira-kira jam 5 petang, semalam.
Menurutnya, dia hanya mendengar suara jeritan lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat seperti melepaskan amarah dari dalam rumah yang didiami wanita berusia 21 tahun dan bayinya berusia empat bulan.
“Kekecohan itu turut menarik perhatian jiran berhampiran hingga ada yang keluar rumah dan menegur perbuatan lelaki berkenaan, mungkin kerana berang ditegur dia bertindak menghempaskan pintu rumah tanpa menghiraukan anak dan isteri ketika itu dalam kesakitan.
“Jiran yang simpati kemudian membantu dua beranak berkenaan dengan membawa mereka ke beranda sebuah rumah berhampiran. Kami minta wanita itu bertenang dan hentikan tangisan bayinya.
“Saya nampak ada kesan seperti melecur pada badan bayi berkenaan yang ketika itu tidak memakai baju dan seluar, manakala ibunya juga dipercayai melecur pada bahagian paha,” katanya.
Dakwanya mangsa yang juga seorang pengasuh dan suami berusia 24 tahun bekerja sebagai pemotong ayam menyewa di rumah berkenaan sekitar tiga ke empat bulan yang lalu dan kerap bertengkar.
Katanya, wanita berkenaan seorang yang peramah dan dikenali ramai, namun lelaki berkenaan jarang bercampur dengan jiran sekeliling serta kerap membuat hal sendiri.
“Memang biasa jiran dengar mereka bertengkar tapi semalam paling kecoh, difahamkan si suami berang dan menuduh isterinya kerap berhubung dengan kenalan lelakinya membuatkan dia cemburu,” katanya.
Semalam, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan bapa kepada bayi perempuan berusia empat bulan yang dipercayai terkena minyak panas susulan pergaduhannya bersama isteri ditahan polis di sebuah rumah di Semabok Dalam.
Kes tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit.
Hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan bapa bayi tersebut ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.