JKN keluarkan 662 kompaun, 32 premis penyediaan makanan ditutup

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PENGKALAN BATU 4 Sept – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengeluarkan 662 kompaun yang keseluruhannya berjumlah RM72,130 dan menutup 32 premis penyediaan makanan di negeri ini kerana melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 tahun ini.

Pengerusi Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Rahmad Mariman berkata, jumlah kompaun itu dikeluarkan selepas jabatan itu menjalankan pemeriksaan terhadap 2,125 premis penyediaan bermula Januari hingga Julai tahun ini.

Katanya, dalam tempoh sama sebanyak 286 sampel makanan dan bahan makanan diambil dan daripada jumlah itu sebanyak tiga daripadanya membabitkan sampel sayur iaitu daun bawang dan daun sup dikesan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

“Perlanggaran sampel membabitkan kedua-dua sayur itu akibat penggunaan paras residu racun perosak ketika tanaman dengan nilai denda sebanyak RM8,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri di Pasar Awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Ismail Ali dan Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.

Menurut Rahmad, daripada jumlah premis penyediaan makanan yang diperiksa, sebanyak 32 premis ditutup akibat gagal mematuhi akta sama.

“Antara kesalahan premis tersebut termasuk membabitkan kebersihan ketika penyediaan makanan, penyediaan makanan ketika meletakkan bahan mentah dalam makanan serta label makanan,” katanya.

Views:

231
Kongsi :
Previous post Melaka bakal perkenal subsektor pelancongan baharu
Next post Stok darah Hospital Melaka mencukupi
Ubah saiz-+=