Melaka bakal perkenal subsektor pelancongan baharu

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 4 Sept. – Kerajaan negeri menyambut baik cadangan bagi memperkenalkan sebuah subsektor pelancongan agama sebagai penambahan baharu daripada 13 subsektor pelancongan yang terdapat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, cadangan yang diutarakan Bahagian Promosi Pelancongan(BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka disambut baik, bagaimanapun ia perlu diperincikan bagi menepati kriteria berkenaan yang mampu menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri ini.

Jelasnya, pelbagai kesan sejarah khususnya dalam penyebaran Islam yang suatu ketika dahulu menjadikan Melaka terkenal sebagai pusat perkembangan Islam perlu diperkenalkan dengan lebih meluas bagi memperkasa sektor ekonomi utama Melaka itu.

“Melalui perlaksanaan subsektor ini kerajaan negeri akan memperkasa pelbagai pendekatan termasuk memperkenalkan perkhidmatan hotel patuh syariah dan menaikkan lokasi-lokasi keagamaan yang bersejarah di negeri ini.

“Seperti contoh kita mempunyai pelbagai masjid-masjid lama yang menjadi tinggalan sejarah malah negeri ini juga turut mempunyai ramai tokoh-tokoh keagamaan yang memperkenalkan ajaran Islam di Melaka suatu ketika dahulu.

“Malah pelbagai pendekatan lain termasuk menjejaki tempat kelahiran mereka serta pelbagai lagi mampu menjadi produk baharu pelancongan Melaka namun apa pun kita perlu fikir dahulu dan melihat apakah faktor yang boleh diangkat dan perlu dilaksanakan melalui pelbagai perincian lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kota Cemerlang, semalam.

Menerusi perbincangan yang dibentangkan di pejabat BPP, Pengurus Besarnya, Sa’ari Basiron berkata pelbagai tarikan Islamik yang akan dibangkitkan semula mampu menjadi tarikan baharu di negeri ini.

Katanya, mercu-mercu pelancongan sedia ada seperti Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara akan dibangkitkan dan diperkenalkan dengan gabungan kemudahan inap desa yang ada di kawasan terbabit.

“Selain itu, BPP melihat ‘Islamic Tourism Centre‘ merupakan sebagai salah satu pengisian sebagai tarikan bagi mempromosikan Melaka.

“Malah pelbagai perancangan lain seperti menjejaki Trek Islamik di Melaka seperti mercu Masjid Kampung Hulu, Masjid Cina di Krubong serta pelbagai lagi terhadap pengaruh dalam perkembangan sejarah dan tarikannya tersendiri dalam pelancongan Melaka.

“Pada masa sama, rancangan bagi pembinaan Masjid Terapung di Pulau Besar turut di dalam perancangan sekali gus bakal menjadi tarikan baharu dalam subsektor pelancongan keagamaan di negeri ini,” katanya.

Subsektor pelancongan Melaka terdiri daripada 13 komponen utama iaitu subsektor kebudayaan; sejarah, rekreasi, beli-belah, konvensyen, kesihatan, sukan, pendidikan, pertanian, makan-makan, Melaka My Second Home, belia dan ekopelancongan.

Menerusi sektor pelancongan berkenaan, ia merupakan penyumbang utama di dalam sektor perkhidmatan negeri ini dengan jumlah sebanyak 48 peratus direkodkan pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Views:

527
Kongsi :
Previous post Sulaiman lawat tiga agensi anak syarikat kerajaan negeri
Next post JKN keluarkan 662 kompaun, 32 premis penyediaan makanan ditutup
Ubah saiz-+=