‘John’ ceriakan pengunjung pantai Pengkalan Balak

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Feb. – Orang ramai yang beriadah di pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini, petang semalam ceria menyaksikan gelagat seekor memerang jantan yang naik ke pantai untuk mencari makan.

Pada mulanya mereka bimbang untuk membiarkan haiwan yang diberi nama ‘John’ oleh nelayan di kawasan itu menghampiri mereka.

Bagaimanapun selepas menyaksikan haiwan marin itu kelihatan jinak dengan nelayan selepas diberikan ikan, orang ramai tidak mahu melepaskan peluang merakam detik ceria itu dengan kamera dan telefon pintar masing-masing.

Jamsari memberi John makan ikan di pangkalan nelayan Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, memerang itu naik ke pantai sebelum ‘mengejar’ pengunjung pantai dan menyebabkan beberapa wanita serta anak mereka lari sambil menjerit ketakutan.

Bagaimanapun, ketakutan mereka segera dipadamkan nelayan, Mohd Amin Fuad Razali, 27, dan peniaga buah, Jamsari Ahmad, 39, yang meminta mereka supaya bertenang kerana haiwan itu tidak mencederakan sesiapa.

John terus memasuki Medan Selera Pengkalan Balak yang hanya beberapa meter dari pangkalan nelayan untuk mendapatkan makanan.

John keluar dari warung Medan Selera Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
– Foto DIN AHMAD

Ia menyebabkan beberapa pelanggan dan wanita pemilik warung menjerit ketakutan sebelum ditenangkan oleh Mohd Amin dan Jamsari yang kemudian memberi memerang itu makan ikan gelama.

Dalam tempoh hanya kira-kira dua minit haiwan marin itu mampu menghabiskan lima ikan gelama sebelum beredar ke laut apabila tiada lagi ikan yang boleh dijamu kepadanya.

Mohd Amin berkata, John sering dilihat bersama beberapa memerang lain, dipercayai anggota keluarganya di kawasan paya bakau di pantai berhampiran Kem Terendak, kira-kira empat kilometer dari Pengkalan Balak.

“Pada musim ombak besar seperti hari ini, John selalu dilihat naik ke pantai untuk mencari makanan kerana dipercayai ombak besar menyebabkan dia susah mencari ikan,” katanya.

Dia berkata, ketika nelayan menjaring ikan di pinggir pantai, memerang itu dilihat menghampiri perahu nelayan untuk meminta makanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1742
Kongsi :
Previous post Melaka United kembali sertai MPFL
Next post MEDAC gesa 1.9 juta usahawan mikro segera daftar dengan SSM
Ubah saiz-+=