Melaka United kembali sertai MPFL

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) mengimpikan kembali menjadi kuasa besar futsal negara apabila mengesahkan penyertaan dalam Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) musim 2021 selepas setahun menarik diri daripada saingan berkenaan.

Naib Presidennya Noor Azman Rahman berkata, memandangkan Melaka pernah menjuarai MPFL lelaki bagi edisi 2017 dan 2018, pihaknya berharap kegemilangan itu dapat dikembalikan apabila menghantar pasukan lelaki dan wanita pada edisi kali ini.

Bagaimanapun pihaknya tidak meletakkan harapan tinggi bagi futsal lelaki berikutan skuad itu dalam fasa pembentukan semula dengan hanya membariskan pemain muda dan kurang pengalaman.

“Tiada sasaran untuk lelaki kerana kita akan membariskan pemain berusia 25 tahun dan ke bawah, yang mana skuad itu kita sifatkan sebagai skuad pembangunan Melaka United.

“Namun, bagi skuad wanita, kita menyasarkan mereka muncul juara pada tahun ini memandangkan kita mempunyai beberapa pemain ternama yang memperkuatkan pasukan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Kejohanan Melaka Futsal League 2021 di Hotel MiTC.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Futsal Dan Bola Sepak Pantai MUSA Ridzuan Ahmad berkata, penganjuran sulung Liga Futsal Melaka 2021 bermula 6 Mac depan adalah pentas untuk mencari bakat baharu futsal di negeri ini.

Katanya, menerusi kejohanan itu pihaknya akan meneliti pemain berpotensi untuk diserap dan diberi peluang menyarung jersi skuad futsal Melaka United dalam saingan MPFL.

“Sebelum ini kita mempunyai ramai pemain berbakat, namun semuanya sudah diambil pasukan luar. Jadi, untuk bina semula skuad futsal lelaki, kita perlu bermula dari bawah dengan mencari pemain berpotensi daripada kejohanan seperti ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

435
Kongsi :
Previous post 8 pasukan berentap dalam Liga Futsal Melaka 2021
Next post ‘John’ ceriakan pengunjung pantai Pengkalan Balak
Ubah saiz-+=