Johor tubuh pasukan petugas khas bincang SOP pekerja Malaysia di Singapura

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

JOHOR BAHRU, 27 Mac – Kerajaan Negeri Johor bercadang menubuhkan pasukan petugas khas bagi membincangkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) khusus kepada rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura, susulan pembukaan sempadan kedua-dua negara pada Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata SOP berkenaan akan diumumkan dalam waktu terdekat, setelah perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan selesai.

“Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) mungkin akan berbincang terlebih dahulu bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ),” katanya pada sidang media selepas Program Ziarah Pusara dan Gotong-Royong peringkat Johor di sini hari ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Pejabat Perdana Menteri Republik Singapura, memaklumkan kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.

Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hairi yang juga ADUN Larkin, secara rasmi memulakan tugasnya sebagai exco yang bertanggungjawab terhadap portflio tersebut di Ibu Pejabat Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) Johor di Iskandar Puteri hari ini.

Bercakap kepada media selepas mengimbas kad perakam waktu, beliau memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor bagi menjayakan perancangan membenarkan venue yang dibina bagi penganjuran Sukma Johor disewa untuk pelbagai aktiviti kesukanan.

“Seperti kita tahu, venue Sukma Johor di bawah pentadbiran Majlis Sukan Negeri Johor memang akan disewakan kepada umum, namun ada antara venue berkenaan berada di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi saya akan mengadakan pertemuan dengan exco berkenaan untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan turut mengadakan perbincangan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalankan operasi pemeriksaan terhadap kesemua petugas jabatan dan agensi di bawahnya, bagi memastikan mereka bebas daripada unsur dadah.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

748
Kongsi :
Previous post Bekas isteri setia jaga Amran Tompel sehingga akhir hayat
Next post Tambahan 60 ekor kuda bantu perkasa kawalan sempadan negara – Polis
Ubah saiz-+=