Tambahan 60 ekor kuda bantu perkasa kawalan sempadan negara – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KOTA BHARU, 27 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah 60 ekor kuda bagi membantu memperkasakan kawalan di kawasan sempadan apabila pintu masuk negara dibuka bermula 1 April ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata kesemua kuda dari Argentina itu akan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini, PDRM mempunyai sebanyak 40 ekor kuda sedia ada (di bawah Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)) bagi penugasan di seluruh negara dan tambahan kuda ini juga akan ditempatkan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar di Perlis apabila pembukaan sempadan bulan depan.

“Kuda ini akan dilatih untuk pelbagai tugasan seperti melakukan rondaan pencegahan jenayah dan rutin rondaan secara harian menerusi jalan darat untuk membantu pihaknya mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan negara,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Reunion Bersama Pesara Pasukan Polis Hutan di Batalion 8, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hazani berkata dari segi keberkesanan unit berkuda berkenaan, beliau berkata penugasan menerusi unit itu menjadi elemen ‘Show Off Force’ bagi menambah keyakinan masyarakat dengan menunjukkan kehadiran anggota keselamatan.

“Dari semasa ke semasa kita akan membuat penambahbaikan untuk memperkasakan lagi kawalan sempadan negara termasuk penggunaan unit berkuda ini selain menggunakan kaedah sedia ada seperti penggunaan dron, Unit Anjing Pengesan (K9) dan kerjasama daripada jabatan keselamatan lain,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan berlaku penambahan anggota apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik, Hazani berkata setakat ini tiada penambahan anggota kerana sudah mencukupi selain turut dibantu pasukan keselamatan lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi rondaan di laut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

870
Kongsi :
Previous post Johor tubuh pasukan petugas khas bincang SOP pekerja Malaysia di Singapura
Next post Perjanjian kerjasama trilateral disemak semula – Hishammuddin
Ubah saiz-+=