JPJ Melaka kesan bas dipandu mengundur

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 4 Oktober – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka kini sedang mengesan pemandu sebuah bas yang bertindak memandu secara mengundur dipercayai dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), semalam.

Kejadian dikatakan berlaku selepas pemandu bas terbabit didakwa terlepas susur keluar ke Plaza Tol Simpang Ampat lalu bertindak memandu kenderaan berat itu secara mengundur.

Ketika kejadian kira-kira jam 6 petang itu, bas terbabit membawa lebih daripada 10 penumpang dan tindakan pemandu itu yang bagaikan mengundang bahaya sekali gus membuatkan penumpang rasa tidak selamat.

Sementara itu, Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata, pihaknya kini giat mengesan bas dan pemandu terbabit selepas mendapat aduan berhubung kejadian.

“Penularan video itu dikesan sejak hari ini dan petang tadi aduan diterima, kini usaha mengesan bas terbabit sedang dilakukan.

“Kita juga akan meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS (Malaysia Bhd) bagi mengenal pasti kenderaan yang terbabit sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Menurut beliau, tindakan pemandu terbabit yang memandu secara mengundur bukan sahaja membahayakan nyawa penumpang malah pengguna lebuh raya yang lain.

“Justeru itu kami turut meminta kerjasama pengguna lebuhraya yang ada menyaksikan kejadian untuk tampil memberi maklumat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2349
Kongsi :
Previous post Rebut peluang ke Sekolah Pelancongan dan Hospitaliti Riyadh, Arab Saudi
Next post Wanita pandu BMW dakwa panik akibat salah jalan
Ubah saiz-+=