JPJ Melaka negeri pertama terima 5 Toyota Fortuner

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER MOLEK 16 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka merupakan jabatan pengangkutan pertama dalam negara ini menerima pertambahan aset kenderaan sekali gus memperkasa penguatkuasaan keselamatan jalan raya di negeri ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sebanyak lima buah kenderaan penguatkuasa jenama Toyota Fortuner telah diserahkan kepada JPJ Melaka bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan penguatkuasaan agensi itu.

Jelasnya, pemberian itu merupakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta akan diberikan secara ‘one-off’ kepada agensi penguatkuasaan di Malaysia.

“Sebahagian daripada peruntukan JPJ telah diluluskan peruntukan (iaitu) sebanyak RM10.7 juta bagi perolehan kenderaan penguatkuasa dan sebanyak 58 buah kenderaan akan disalurkan ke JPJ negara secara berkala.

“Melaka merupakan negeri pertama menerima inisiatif itu dan saya yakin aset penguatkuasa ini mampu menjadi pemangkin untuk mempertingkatkan keupayaan, produktiviti dan memperkasa kesiapsiagaan penguatkuasaan JPJ sekali gus mendorong JPJ menjadi agensi penguatkuasaan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Litar Latihan dan Ujian Memandu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Akademi JPJ, Tiang Dua, di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Nor Fuad Abdul Hamid; Ketua Pengarah JPJ, Rospiagos Taha dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1353
Kongsi :
Previous post Kaji maklum balas isu kenaikan tambang bas sekolah
Next post Berganding bahu kekalkan status sifar miskin tegar
Ubah saiz-+=